ARKIB : 23/02/2005
Oleh Amran Mulup
KUALA LUMPUR - Kancah saingan
Piala FA pusingan pertama bermula malam ini, tetapi tumpuan sudah pasti kepada
pertembungan dua gergasi bola sepak, Selangor bertemu Pahang di Stadium Shah
Alam.
Pertembungan kedua-dua pasukan
yang diibaratkan seperti perlawanan akhir Piala FA kini hangat diperkatakan
untuk melihat sama ada Selangor atau Pahang lebih gagah.
Tidak dinafikan daripada 13
perlawanan yang berlangsung serentak hari ini, aksi dua pasukan tersebut
menjadi tumpuan.
Pertembungan Selangor dan
Pahang, dua buah pasukan yang dibarisi barisan pemain bergelar bintang
merancakkan saingan awal Piala FA.
Apa yang lebih penting
pertembungan kedua-dua pasukan itu bakal mencuri perhatian di kalangan peminat
kedua-dua pasukan yang dijangka memenuhi setiap ruang di Stadium Shah Alam.
Melihat reputasi terkini
Selangor yang mengungguli saingan Liga Perdana Kumpulan A manakala Pahang
berada di tempat ketiga Liga Super menjanjikan lebih 40,000 penyokong akan
terhibur dengan aksi bermutu daripada kedua-dua seteru itu.
Ini juga akan menjadi titik
tolak kepada kebangkitan peminat untuk kembali semula ke stadium dan
menghangatkan lagi saingan Liga Malaysia yang sepi sejak kebelakangan ini.
Kehangatan kedua-dua pasukan
dengan Selangor selaku juara Piala FA pada 1991, 1997 dan 2001 dianggap memiliki
barisan pemain terbaik setakat ini dengan bintang import Bambang Pamungkas,
Ellie Aboy dan Brian Fuentes.
Trio import skuad Merah Kuning
kini menjadi igauan pasukan lawan daripada tiga perlawanan Liga Perdana dalam
Kumpulan A. Selangor sudah menjaringkan 14 gol dengan Fuentes mencipta hatrik
sebanyak dua kali.
Buat Selangor, bertemu Pahang
adalah lawan sebenar mereka selepas tiga perlawanan Liga Perdana. Langkah skuad
Merah Kuning bagaikan sukar disekat selepas mereka membenam Melaka (4-1), TNB
Kelantan (6-1) dan Kuala Lumpur (4-1).
Kehebatan Pahang yang diterajui
oleh Zainal Abidin Hassan pula tidak dinafikan sebagai pasukan yang cukup
mantap dan adalah lawan sebenar buat Selangor.
Pahang yang setakat ini belum
menggenggam gelaran juara Piala FA turut memiliki pemain berstatus bintang
seperti ketua pasukan kebangsaan, Rosdi Talib, Indra Putra Mahayuddin, Norhafiz
Zamani Misbah, Hairuddin Omar dan Irwan Fadzli Idrus.
Pahang pula juara Liga Super
musim lalu yang dikecewakan di peringkat separuh akhir Piala FA musim lalu kini
menduduki tangga ketiga Liga Super.
Perlawanan lain yang turut
menjadi perhatian ialah Negeri Sembilan menentang naib juara Piala Malaysia
musim lalu, Kedah di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi; Pulau Pinang berdepan
Sarawak di Stadium Bandaraya dan juara tahun lalu, Perak bertemu wakil kelab
MPSJ Selangor di gelanggang sendiri.
Dalam pada itu, Jenderata Perak
akan bertemu MK Land di Stadium TLDM, Lumut malam esok.
Juara Piala Malaysia musim
lepas, Perlis yang mendapat bye pada majlis undian Disember tahun lalu akan
bertemu TNB Kelantan pada pusingan kedua nanti.
Saingan pusingan kedua Piala FA
dijadualkan berlangsung pada 18 Mei.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4huqyVfiu
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan