ARKIB : 28/04/2005
Oleh AMRAN MULUP
KUALA LUMPUR - Pahang kembali
merampas kedudukan takhta pendahulu Liga Super daripada genggaman Perlis jelas
menghangatkan saingan untuk menamatkan saingan pusingan kedua.
Kemenangan bergaya 4-1 ke atas
Pulau Pinang dengan jaringan menerusi ketua pasukan Hairuddin Omar, Rosdi Talib
serta dua gol daripada pemain import dari Cameroon, Bernard Tchoutang
mengembalikan semula kekuatan skuad Tok Gajah.
Begitupun kedudukan Pahang
masih belum selamat sekadar dipisahkan dengan perbezaan gol menjadi milik skuad
bimbingan jurulatih Zainal Abidin Hassan buat memintas Perlis walaupun
masing-masing terikat dengan 20 mata.
Buat Perlis yang mengidam untuk
mengekalkan reputasi selaku pendahulu jelas tidak kesampaian.
Sekalipun mencatat kemenangan
selesa 5-0 ke atas Sabah di Kangar pada pusingan pertama tetapi mereka
mendapati skuad badak jelas sudah berubah.
Kegarangan awal mereka sebelum
ini mudah dinafikan oleh skuad Sabah yang membariskan sebahagian besar pemain
muda untuk mencatat kemenangan mudah 2-0 di Likas.
Kekalahan skuad Singa Utara
jelas tamparan hebat buat juara Piala Malaysia musim lalu itu terpaksa
melepaskan tampuk pendahulu kepada Pahang.
Ketika Pahang dan Perlis
bersaing hebat untuk memburu gelaran Liga Super musim ini, Public Bank pula
kian merapatkan diri.
Kecemerlangan Public Bank meleburkan
impian bekas juara Piala Malaysia 2003, MPPJ dengan kemenangan bergaya 4-2
meletakkan pasukan itu di tangga keempat terikat 16 mata dengan Pulau Pinang di
tempat ketiga.
Buat Pulau Pinang pastinya
tidak tidur malam selepas tunduk mudah 1-4 kepada Pahang sekali gus kekalahan
itu menjarakkan diri mereka untuk bersaing dengan Pahang dan Perlis.
Dalam pada itu juara Piala FA
musim lalu, Perak terus tersisih untuk berada dalam kelompok tangga terbawah
liga.
Masalah ketumpulan jentera
serangan terus menghantui skuad Seladang untuk memburu kemenangan berdepan
dengan Telekom hanya mampu memahatkan keputusan seri 0-0 di Stadium Perak.
Jika Perak berterusan mengalami
kekalahan sudah pastinya mereka bakal beraksi di Liga Perdana musim depan.
Sabah yang memulakan aksi serba
tidak menentu di awal musim mula menunjukkan sengat menjinakkan Perlis di
gelanggang sendiri memberi petanda akan kebangkitan skuad Badak untuk terus
mengelakkan diri daripada terjerumus di tangga terbawah liga.
Malang bertimpa buat MPPJ,
kekalahan 2-4 merumuskan betapa mereka harus akur untuk berada di tangga
terbawah liga sekadar mengutip tujuh mata.
Kedudukan ini begitu
menyulitkan buat MPPJ yang membuat kejutan apabila menjadi satu-satunya pasukan
berstatus kelab menjulang Piala Malaysia pada 2003 tetapi kini diambang
kejatuhan.
Tidak banyak pilihan yang
berada di tangan anak didik Reduan Abdullah perlu bangkit menamatkan saingan
pusingan kedua sebelum mengharungi cabaran pusingan ketiga untuk
sekurang-kurangnya mengelak daripada terjerumus ke Liga Perdana musim depan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0428&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4iQRncytd
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan