Ahad, 28 Mei 2017

Pahang pintas Perlis



ARKIB : 27/04/2005

TONGGAK Pahang, Indra Putra Mahayuddin (kanan) cuba melepasi asakan pemain Pulau Pinang, Chee Wan Hoe pada saingan bola sepak Liga Super di Stadium Darul Makmur malam tadi. Pahang menang 4-1. - Gambar GHAZALI BASRI.

KUALA LUMPUR - Pahang merampas kedudukan selaku pendahulu Liga Super selepas membelasah Pulau Pinang 4-1 di Stadium Darul Makmur di sini, malam tadi.

Kemenangan tersebut membolehkan Pahang merampas kedudukan daripada gengaman Perlis selepas skuad Singa Utara tewas 0-2 kepada Sabah dalam aksi di Stadium Likas.

Seawal minit keempat Pahang membuka tirai jaringan pertama menerusi ketua pasukan Hairuddin Omar.

Belum reda Pulau Pinang untuk mengatur gerakan giliran Bernard Tchoutang pula memahatkan gol menerusi sepakan dari jarak 25 meter untuk gol kedua menewaskan penjaga gol pelawat, Azuan Othman pada minit ke-19.

Begitupun, Pulau Pinang merapatkan jurang menerusi jaringan pemain import dari Rusia, Viatcheslav Melnikov pada minit ke-26.

Bagaimanapun, Pahang bertindak garang dengan giliran pemain kebangsaan Rosdi Talib meledakkan jaringan ketiga pada minit ke-53 sebelum Tchoutang menutup tirai jaringan keempat pada minit ke-68.

Di Stadium Likas pula Sabah bertindak cemerlang untuk meleburkan impian menggunung Perlis apabila menang dengan 2-0.

Penyerang import Sabah, Julio Cesar muncul hero apabila menjaringkan kedua-dua gol pasukan itu pada minit ke-24 dan 42.

Kekalahan buat Perlis itu membolehkan Pahang memintas untuk merampas tampuk selaku pendahulu liga walaupun terikat dengan 20 mata tetapi dibezakan dengan jaringan gol.

Sabah membuka jaringan pertama menerusi sepakan penalti Cesar selepas pemain Perlis, Mohamad Khairi Zainuddin menampan bola di kawasan kotak penalti.

Pengadil perlawanan, R. Krishnan tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Cesar.

Penyerang import itu menambah sengsara pasukan pelawat apabila meledakkan sepakan kencang untuk gol kedua Sabah selepas menerima hantaran cantik daripada Joey Ryan.

Di Stadium Petaling Jaya, Public Bank meneruskan aksi cemerlang mereka apabila mudah mencapai kemenangan menewaskan MPPJ 4-2.

Kemenangan milik Public Bank membolehkan pasukan itu terus memburu untuk mencabar kedudukan Pahang.

Begitupun MPPJ lebih awal memecah kebuntuan jaringan menerusi Ben Katanha pada minit ketujuh dan Sebastian Manestrollo pada minit ke-22.

Dua gol awal itu tidak melemahkan semangat Public Bank yang merapatkan jurang menerusi Ivan Ziga pada minit ke-32.

Giliran Rashid Mahmud menjadikan kedudukan 2-2 selepas meledakkan jaringan pada minit ke-46.

Dua gol lagi menyusul milik Public Bank dengan jaringan menerusi Gustavo Fuentes pada minit ke-52 dan gol keempat pula melalui bekas pemain kebangsaan, Mohd. Nizaruddin Yusof pada minit ke-75.

Sementara itu di Stadium Perak, Perak terus kempunan untuk memburu kemenangan setelah hanya mampu seri 0-0 dengan Telekom.

Biarpun segala usaha yang dilakukan oleh anak buah Toni Netto tetapi jentera serangan mereka gagal menembusi kekebalan benteng anak didik Irfan Bakti.

Kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan pulang membawa satu mata

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0427&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iQQN16Hb
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan