Kuantan: Pemain pertahanan
Pahang Mohd Muslim Ahmad mahu pentas final Piala FA mengubah nasib kariernya.
Ketika rekod di pentas
antarabangsanya agak menarik dengan satu kejuaraan Piala AFF dan dua emas Sukan
SEA, pencapaiannya di peringkat domestik agak suram tanpa sebarang gelaran.
Kini peluangnya terhidang untuk
mengatasi badi itu namun Muslim dan rakan sepasukannya perlu melepasi halangan
Kedah di Stadium Shah Alam terlebih dulu.
“Memang itu hasrat saya, nak
dapatkan piala untuk melengkapkan koleksi. Saya yakin kami sudah membuat
persiapan yang baik dan hanya menunggu hari perlawanan,” katanya ketika ditemui
pada sesi latihan semalam.
Muslim, 28, mengalami zaman
turun naik selepas keluar daripada Harimau Muda A dan menyertai Terengganu,
Johor Darul Ta’zim (Johor DT), PDRM serta Kelantan sebelum menyarung jersi Tok
Gajah musim ini.
Dia yang sudah lama tidak
beraksi bersama Harimau Malaya bersaing merebut tempat dengan Mohd Afif
Amiruddin dan pemain import Korea Selatan Heo Jae-Won dalam kesebelasan utama
jurulatih Dollah Salleh.
“Dalam bola sepak biasalah, ada
masa kita main baik dan ada ketika menurun. Saya tak pernah rasa kecewa untuk
teruskan karier dan syukur sudah dapat semula momentum.
“Bagi saya persaingan dengan
Afif dan pemain import itu baik untuk pasukan, terpulang kepada jurulatih untuk
membuat keputusan,” katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 9:02 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan