ARKIB : 02/02/2005
Pahang terus beri ancaman
PEMAIN MPPJ Selangor, Sebastian
Omar Monesterolo (kanan) berjaya melepaskan diri daripada terjahan pemain
Perlis, Mohd. Khairi Zainuddin dalam perlawanan Liga Super di Petaling Jaya
semalam. Perlis menang 3-2. - Gambar SAHARUDDIN ABDULLAH.
KOTA KINABALU - Juara bertahan,
Pahang mengekalkan rekod bersih dalam persaingan bola sepak Liga Super apabila
menundukkan Sabah 2-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu dalam perlawanan yang
dihiasi aksi kasar.
Indra Putra Mahayuddin
membuktikan dirinya masih penyerang berbahaya apabila sentuhannya memberikan
gol pertama seawal minit ketiga dan kemudian menambah satu lagi pada minit
ke-63.
Penonton di stadium dihidangkan
dengan aksi-aksi `panas' oleh pemain kedua-dua pasukan sehingga memaksa
pengadil dari Pulau Pinang, Subkhiddin Mohd. Salleh melayangkan empat kad
kuning kepada Sabah dan dua kepada Pahang.
Kemenangan itu membolehkan
Pahang mengutip enam mata setelah menang 3-2 ke atas MPPJ Selangor pada hari
pembukaan liga Sabtu lepas.
Bagi Sabah pula, kekalahan itu
merupakan yang kedua selepas mereka kalah 3-0 kepada Pulau Pinang Sabtu lepas.
Di Stadium Perak, Ipoh, tuan
rumah, Perak mencipta kemenangan tipis 1-0 ke atas Public Bank Selangor.
Juara Sumbangsih itu memperoleh
gol daripada pemain import, Keita Mandjou yang menanduk masuk sepakan sudut K.
Yo-ganathan pada minit ke-64.
Ia adalah kemenangan pertama
Perak selepas seri dengan Perlis dalam perlawanan sumbangsih Sabtu lepas.
Sementara itu di Stadium
Petaling Jaya, juara Piala Malaysia musim lalu, Perlis menebus kehampaan
selepas gagal menjulang Piala Sumbangsih empat hari lalu dengan menumbangkan
MPPJ Selangor 3-2.
Kemenangan bergaya skuad Singa
Utara itu menebus kekecewaan tumpas 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti
kepada Perak Sabtu lalu.
Perlis ketinggalan dua kali
sebelum menyamakan kedudukan 2-2, dan penyerang import, Zacharia Simukonda
muncul wira dengan jaringan kemenangan pada minit ke-83.
Dua gol pertama Perlis
dijaringkan oleh Zainuddin Mohd. Ariffin pada minit ke-36 dan Muhd. Lamin
Conteh pada minit ke-56.
Gol-gol MPPJ pula dijaringkan
oleh Mohd. Fareed Dewan pada minit ke-12 dan Sebastian Omar Monesterolo pada
minit akhir babak pertama.
Di Stadium Hang Jebat, Melaka,
Pulau Pinang menunduk-kan Melaka Telekom 1-0 hasil jaringan Viatcheslav
Melnikov pada minit ke-41 menerusi rembatan leret dari jarak 10 meter.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4gOKGxp9e
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan