ARKIB : 08/05/2005
Pahang terus lepas peluang
Pemain Perak, Harizul Izuan
Abd. Rani (kiri) cuba dihalang oleh pemain Sabah Mohd. Arsyahh Mohd. Ayob dalam
perlawanan Liga Super di Stadium Perak, semalam. Perak menang 2-0.
KUALA LUMPUR - Pahang terus
dirundung malang apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Telekom
Melaka dalam perlawanan Liga Super di Stadium Hang Tuah, semalam.
Jika tidak kerana Pulau Pinang
tewas 3-2 kepada MPPJ Selangor, Pahang sudah pasti tersingkir ke tangga ketiga
liga.
Kemerosotan yang ditunjukkan
Pahang sejak kebelakangan ini tampak berterusan tetapi bermula agak baik
semalam dengan mendahului menerusi Rosdi Talib pada minit ke-17.
Bagaimanapun Telekom Melaka
bangkit di babak kedua untuk menyamakan kedudukan menerusi Njoh Njoh Mpondo
Alain pada minit ke-63.
MPPJ pula menyekat hasrat Pulau
Pinang untuk mengutip tiga mata penuh apabila menang 3-2 di Stadium Bandaraya.
Meskipun tuan rumah menguasai
permainan pada babak pertama, namun kebuntuan mencari gol hanya diperoleh pada
minit ke-41.
Itu pun hasil sepakan percuma
yang diberikan pengadil, Ahmad Khalidi Supian setelah pertahanan pasukan
pelawat menjatuhkan Mohd Faizal Eshar di luar kotak penalti.
Penjaga gol Selangor MPPJ, Mohd
Yazid Mohd Yassin sekadar melihat sepakan cantik Jose Marcio Barreto yang
mencecah penjuru pintu golnya.
Namun MPPJ tidak menunggu lama
untuk menyamakan kedudukan, apabila Fabrico Rene Franecshi menceriakan
pasukannya menerusi tandukan yang mencecah gawang Pulau Pinang tiga minit
sebaik babak kedua bermula.
Bersemangat dengan gol
penyamaan, pasukan kelab dari Lembah Klang itu sekali lagi menyentak sorakan
penonton tuan rumah apabila jaringan Mohd Zaidi Zaing pada minit ke-60
meletakkan pasukannya di depan.
Anak buah Norizan Bakar yang
tidak berputus asa kembali mengatur gerak dan akhirnya membuahkan hasil apabila
sekali lagi sentuhan Baretto pada minit ke-63 mencecah gawang pelawat.
Kedudukan terikat 2-2 tidak
bertahan lama apabila MPPJ kembali mendahului dua minit kemudian menerusi
sentuhan pemain import mereka, Franecshi.
Di Stadium Perak, Ipoh, pemain
tuan rumah yang terdesak kerana berdepan kemungkinan dipotong gaji 20 peratus
jika kalah mencipta kemenangan ke atas Sabah 2-0.
Perak tidak perlu menunggu lama
untuk memecah kebuntuan seawal minit ke-4 menerusi Frank Seator yang menyambut
bola muntah dalam kotak penalti.
Ini selepas sepakan kencang
Chan Wing Hoong terkena palang gol.
Seorang lagi pemain import
Perak, Troare Abdoul Aye kemudiannya menggandakan jaringan buat Perak pada
minit ke-20.
Gol berpunca daripada bola
hantaran K. Yoganathan yang disambut dengan tandukan Troare untuk menggegar
jaring.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0508&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iTbyPclW
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan