ARKIB : 09/07/2005
Oleh: AMRAN MULUP
KUALA LUMPUR - Saingan Liga
Super akan menutup tirai malam ini dan tumpuan pastinya kepada pertemuan Pahang
menentang Perak di Stadium Darul Makmur.
Ketika Perlis lebih awal
dinobatkan selaku juara Liga Super musim 2005, pertembungan Pahang-Perak
dianggap lebih menarik untuk menentukan pasukan yang akan ditabalkan selaku
naib juara liga dan membawa pulang wang tunai RM300,000.
Pahang yang menduduki tangga
kedua di belakang Perlis sekadar dipisahkan dengan dua mata dengan Perak di
tangga ketiga.
Reputasi Perak tampak sukar
disekat apabila mereka meneruskan aksi rentak kemenangan menewaskan Sabah 3-0
Sabtu lepas manakala Pahang pula tersentak tunduk 2-3 kepada Telekom.
Kelibat Perak yang pada satu
ketika menduduki tangga terbawah di pertengahan aksi liga kini semakin mengugat
dengan ledakan Frank Seator dan Keita Mandjou yang bakal mendatangkan masalah
kepada benteng pertahanan Pahang.
Buat Pahang yang terpaksa
menggigit jari terlepas genggaman kejuaraan liga yang dimenangi musim lalu,
kini mengharapkan kejayaan selaku naib juara buat mengubat rasa kecewa Presiden
Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Perak pastinya tidak mahu
kempunan untuk sekurang-kurangnya meraih kedudukan sebagai naib juara liga.
Walau apa pun, kedudukan
Perlis, Pahang, Perak dan Telekom sudah terjamin beraksi dalam Liga Super musim
2006.
Bagaimanapun, nasib empat
pasukan iaitu Sabah, MPPJ, Pulau Pinang dan Public Bank diambang paling getir.
Dua pasukan yang menduduki
tangga terbawah liga bakal tersingkir daripada beraksi di Liga Super musim
depan jika tewas dalam perlawanan terakhir malam ini.
Public Bank kini menduduki
tangga kelima dengan 25 mata diikuti MPPJ (24), Pulau Pinang dan Sabah
masing-masing dengan 22 mata.
Tidak ada banyak pilihan buat
keempat-empat pasukan yang akan bertembung sesama sendiri bagi menentukan
untung nasib sama kekal beraksi dalam Liga Super musim depan.
Kalah bermakna dua pasukan terbabit
bakal turun beraksi ke Liga Perdana musim depan menggantikan tempat Selangor
dan Negeri Sembilan yang telah layak ke Liga Super 2006.
Sabah akan berdepan dengan MPPJ
di Stadium Likas manakala Pulau Pinang menanti kunjungan Public Bank.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0709&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4iiRsCe55
© Utusan Melayu (M) Bhd