Selasa, 1 November 2016

Pahang salahkan pemain pertahanan -- Sambil lewa punca kalah

ARKIB : 05/10/1998
PENGURUSAN pasukan bola sepak Piala Malaysia Pahang menyalahkan sikap sambil lewa pemain pertahanan sebagai punca kekalahan skuad berkenaan kepada pasukan pelawat Brunei dalam perlawanan malam kelmarin.

Pengurus pasukan, Mustapha Kamal Abdul Hamid berkata, pemain pertahanan terutamnya dua tenaga import, Joszef Duro dan Kofi Ampiah patut dipersalahkan kerana membiarkan banyak ruang kepada penyerang pasukan pelawat menjaringkan gol biarpun sudah berada dalam kedudukan yang amat selesa.

''Kealpaan mereka meninggalkan banyak ruang kepada Brunei dan mereka seolah-olah terlalu yakin untuk menjaringkan lebih banyak gol,'' katanya.

Beliau berkata, keputusan seri 4-4 sukar diterima setelah Pahang mendahului selesa 4-1.

Mustapha Kamal juga menyifatkan Duro dan Ampiah bertindak tidak profesional sehingga meninggalkan posisi masing-masing yang menyebabkan pasukan Brunei mudah menjaringkan gol.

''Selain itu, pemain-pemain lain juga mengulangi kesilapan lalu dengan bermain sambil lewa setelah berada dalam kedudukan yang selesa,'' katanya.

Beliau berkata, penyerang dari Rusia, Viatcheslav Melnikov telah bekerja keras untuk meletakkan Pahang di hadapan, tetapi dikecewakan dengan kerapuhan benteng pertahanan.

Keputusan perlawanan malam tadi juga meneruskan rekod perlawanan yang berkesudahan seri antara kedua-dua pasukan.

Sebelum ini, pada April lalu, Pahang dan Brunei seri 3-3 di Bandar Seri Begawan dan pada perlawanan timbal balik kedua pasukan seri 1-1.

Mustapha berkata, dengan sekadar memungut satu mata sahaja, skuadnya kini terpaksa bekerja lebih keras apabila berhadapan dengan Sabah yang kini memungut empat mata dari dua perlawanan, Selasa ini.

''Saya akan berbincang dengan jurulatih mengenai sikap yang ditonjolkan pemain dalam perlawanan semalam dan berharap sikap sebegitu dapat diubah bagi menghadapi perlawanan seterusnya,'' katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1005&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4OkoVWCr7 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan