ARKIB : 05/04/1999
TERPAAN terbang penjaga gol
Negeri Sembilan, Azmin Azram Aziz masih gagal menampan bola tandukan Wan
Rohaimi untuk gol kedua Pahang pada perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu di
Stadium Darul Makmur, Kuantan, kelmarin. Pahang menang 5-0. - Gambar NAZUDEEN
MAHMUD.
BIBIT-BIBIT kejayaan buat
Pahang mula terserlah apabila dengan mudah membenamkan Negeri Sembilan 5-0
dalam perlawanan bola sepak Perdana Satu di Stadium Darulmakmur, Kuantan
kelmarin.
Keputusan diluar dugaan itu
sekali gus membolehkan Pahang melonjak dari tangga keempat dan merampas takhta
Liga Perdana Satu dari Pulau Pinang.
Kejayaan itu tentunya memberi
kelegaan kepada pemangku jurulatih Pahang, Fuzzeimi Ibrahim yang menjadi 'bidan
terjun' memikul tanggungjawab yang ditinggalkan oleh ketua jurulatih Pahang,
Alan Davidson.
Selepas menjadi penolong
jurulatih selama dua musim bersama bekas jurulatih Pahang, Jorgen Erik Larsen
dari Denmark, Fuzzeimi nampaknya sudah cukup pengalaman.
Kekalahan kepada Negeri
Sembilan sewaktu perlawanan persahabatan di Stadium Darulmakmur tempoh hari
merupakan pengajaran berguna untuk skuad Tok Gajah pada persaingan sebenar.
Dendam sudah terbalas, Kijang
yang sebelum ini bermaharajalela di Kuantan mudah dapat dijinakkan oleh Tok
Gajah.
Namun Fuzzeimi tidak mahu anak
buahnya terlalu yakin dan berpuas hati dengan kejayaan itu kerana perjalanan
masih jauh.
Fuzzeimi yang turut terkejut
dengan kemenangan besar ke atas sebuah pasukan, yang di atas kertas merupakan
pasukan yang serba lengkap di semua posisi dengan dibarisi bekas pemain-pemain
kebangsaan.
Katanya, pada perlawanan
kelmarin, semua pemain memberi komitmen sepenuhnya dan bermain sebagaimana yang
telah dirancang.
Beliau juga tidak menafikan
corak permainan yang digunakannya adalah hampir sama dengan Larsen.
''Saya mengadunkan taktik yang
digunakan oleh Larsen dengan saya kerana itulah yang paling sesuai bagi pemain
tempatan.
''Kita hanya mempunyai pemain
yang bersaiz kecil dan memiliki kepantasan. Atas sebab itulah saya menggunakan
pendekatan permainan satu sentuhan one touch serta hantaran pendek.
''Ini membolehkan kepantasan
pemain digunakan sepenuhnya. Namun jika kita mempunyai pemain bersaiz besar
lain pula taktiknya,'' katanya ketika jurulatih itu sewaktu ditemui sejurus
berakhirnya perlawanan.
Fuzzeimi berkata, walaupun
menang dan strategi menggunakan dua penyerang - Wan Rohaimi Wan Ismail dan
Azizul Kamaluddin berkesan, para pemainnya nyata kurang dari segi kecergasan.
''Mereka boleh naik dengan
pantas tetapi mudah kehilangan tenaga dan agak perlahan ketika turun bertahan
apabila diasak lawan,'' ujarnya.
Pada perlawanan itu, pemain
yang dibeli dari Kelantan, Wan Rohaimi dan Azizul layak mendapat pujian kerana
bijak mengucar-kacirkan benteng pertahanan lawan dengan gerakan pantas serta
menunjukkan kombinasi yang cukup serasi.
Kepantasan Azizul dilengkapkan
lagi dengan Wan Rohaimi yang bijak mencari ruang untuk membuat hantaran yang
cantik serta mampu mencipta peluang menjaringkan gol untuk diri sendiri.
Oleh: BORHAN ABU SAMAH
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0405&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RS3t9Xaf
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan