ARKIB : 19/02/1999
PAHANG yang bercita-cita
merangkul sekurang-kurangnya satu piala dalam persaingan Liga Malaysia akan
melayani semua pemainnya secara sama rata tanpa mengira mereka bertaraf bintang
atau pemain baru.
Layanan sama rata pengurusan
skuad Tok Gajah itu terbukti apabila semua pemain tanpa mengira status
menjalani latihan ketenteraan di Kem 8 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD),
baru-baru ini.
Pengurusnya, Talib Sulaiman
berkata, pemain bertaraf bintang tidak penting dalam skuadnya kerana keutamaan
ialah tahap permainan yang berkualiti dan bersungguh-sungguh.
''Saya selalu tekankan tidak
ada seorang yang boleh dipanggil bintang, kita anggap semua pemain sama rata,
tidak kurang tidak lebih,'' ujarnya semasa dihubungi Sukan Utusan semalam.
Malah menurutnya, pemain yang
dianggap bintang oleh peminat termasuk Azizul Kamaluddin berikutan reputasinya
selaku penyerang terbaik, akan diketepikan jika tidak menunjukkan permainan
yang baik.
Pahang juga, tegas Talib, tidak
meletakkan harapan seratus peratus ke atas Azizul untuk menggegar gawang lawan
di mana sekarang ramai pemain yang berkebolehan berbuat demikian.
Beberapa pemain seperti
Jalaluddin Jaafar, Shahrulnizam Sahat dan Ahmad Shaharuddin Rosdi berkeupayaan
menjaringkan gol khususnya semasa situasi Azizul dikawal ketat, katanya.
Mengenai tugas ketua pasukan,
Talib berkata, setakat ini belum ada pemain yang dikenal pasti bakal memikul
tanggungjawab itu.
''Kita masih meneliti
perkembangan pemain tetapi berdasarkan beberapa perlawanan persahabatan nanti,
barulah dapat kita tentukan,'' katanya.
Beliau menjelaskan, pemilihan
ketua pasukan akan bergantung kepada kemampuan pemain mengawal diri dan rakan
sepasukan serta mempunyai tahap disiplin yang baik sama ada dalam padang atau
di luar.
Mengenai perlawanan
persabahatan dengan Johor FC di Stadium Darulmakmur malam ini, Talib berkata,
perlawanan itu terpaksa dibatalkan atas sebab teknikal.
''Tetapi jadual perlawanan
dengan Johor akan kita teruskan pada 20 Februari ini,'' katanya yang turut
mengumumkan keputusan untuk tidak menyertai Kejohanan Empat Penjuru melibatkan
Negeri Sembilan, Johor, Selangor dan Perak pada 1-10 Mac depan.
Kata beliau, Pahang pada
mulanya berminat menyertai kejohanan itu tetapi disebabkan sudah terikat dengan
perlawanan persahabatan bersama pasukan negeri lain, ia terpaksa dibatalkan.
Selain menentang Johor, Pahang
akan bertandang ke Stadium Larkin untuk perlawanan timbal balik termasuk dengan
Johor FC.
''Walaupun tidak menyertai
kejohanan itu, kita rasakan latihan dan persiapan sudah mencukupi, jadual kita
cukup ketat,'' ujarnya yang merujuk latihan kendalian Alan Davidson bermula
pukul 5 hingga 7.15 petang setiap hari.
Mengenai K. Ramachandran yang
menimbulkan masalah kepada pengurusan Pahang kerana gagal menghadiri latihan
selepas menandatangani kontraknya, Talib berkata, bekas pemain Kuala Lumpur itu
telah menjalani latihan sejak Isnin lalu.
''Alan juga nampaknya gembira
dengan komitmen yang ditunjukkan oleh Ramachandran, kita harap ini akan
berterusan,'' tambah beliau.
Oleh: ZULKIFLI HAMZAH
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4PtVsTmPD
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan