ARKIB : 18/03/1999
PASUKAN Pahang bergolak lagi,
walaupun persaingan Liga Perdana belum lagi bermula apabila jurulatihnya, Alan
Davidson yang baru membimbing pasukan itu Februari lalu, meletak jawatan,
semalam.
Jurulatih kelahiran Australia
itu baru saja memulakan tugasnya kira-kira sebulan yang lalu telah membuat
keputusan yang drastik tersebut kerana alasan masalah keluarga di negara
asalnya.
Namun hakikat kepada masalah
sebenar dikatakan berpunca daripada para pemain dan pegawai pasukan berkenaan
yang sukar untuk bekerjasama dengan jurulatih baru itu.
Suasana tegang mula dirasai
apabila penolong jurulatihnya, Azam Bakar meletakkan jawatan dengan alasan
untuk memberi tumpuan kepada perniagaannya.
Walaupun sebelum ini Azam
dikatakan juga kurang persefahaman dengan Davidson yang pernah dilatihnya
ketika pemain itu menyarung jersi Pahang di posisi pertahanan.
Timbalan Presiden I, Datuk
Jamal Abdul Nasir Ismail ketika ditemui di Kuantan, semalam, berkata, pergolakan
dalam pasukan Pahang hanya seperti ''berkocaknya secawan air'' tidaklah sampai
membuat jurulatih itu meletak jawatan.
Tambahnya, Davidson juga tidak
pernah mengadu kepadanya atau kepada setiusahanya, Fuad Daud, tentang sebarang
masalah yang dihadapinya.
Katanya, Persatuan Bola Sepak
Negeri Pahang (PBNP) terpaksa akur dengan keputusan Davidson itu yang dikatakan
telah muktamad.
''Kita tidak akan mengambil
sebarang tindakan terhadapnya kerana masalah keluarga adalah lebih penting dan
kita cukup memahami.
''Bagaimanapun saya cukup
terkejut dengan keputusan itu kerana sebelum ini Davidson cukup bersemangat
untuk membentuk pasukan Pahang menghadapi cabaran Liga Perdana,'' katanya.
Davidson yang menggantikan
jurulatih dari Denmark, Jorgen Erik Larsen yang membimbing pasukan itu selama
dua musim dilihat begitu yakin dan bersungguh memulakan tugasnya dengan
melakukan analisis punca kelemahan Pahang.
Menurut Jamal, persatuan cukup
berpuas hati dengan khidmat jurulatih itu kerana dalam tujuh perlawanan persahabatan
yang dilalui oleh Pahang hanya satu yang tewas.
''Oleh itu tidak timbul soal
cara latihan yang dikendalikan oleh Davidson tidak berkesan kerana dia cukup
berpengalaman dan mempunyai lesen A kejurulatihan,'' katanya.
Perkembangan terbaru ini terus menyebabkan
para pemain dan pengurusan Pahang tertekan kerana masa yang ada untuk membuat
persiapan menentang Sarawak pada 20 Mac ini terlalu suntuk.
Sehubungan itu, Jamal berkata,
penolong jurulatih, Fuzaimi Ibrahim akan mengambil alih tugas Davidson dan akan
turut dibantu oleh penolong jurulatih yang baru, Nazri Mohd. Nor.
Davidson yang masih berada di
Kuantan dijangkakan akan menyampaikan surat peletakkan jawatannya secara rasmi
kepada PBNP pukul 11 pagi hari ini.
Oleh: BORHAN ABU SAMAH
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0318&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4QAhZ8uOo
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan