ARKIB : 10/10/1998
LALUAN masih jauh dan berliku
namun kerancakan aksi semakin membayangi lapan pasukan yang pasti berhempas
pulas memburu kedudukan terbaik dalam perlawanan Piala Malaysia malam ini.
Selepas juara Perdana Satu,
Pulau Pinang tewas 0-1 kepada Kuala Lumpur dalam kumpulan A, keputusan yang
tidak disangka berdasarkan keupayaan Harimau Kumbang menewaskan pasukan lebih
handal, Negeri Sembilan dan Kedah, tumpuan kini beralih kepada Sabah.
Sabah kembali digeruni selepas
menewaskan naib juara Perdana Satu, Pahang 4-1 sehingga memaksa jiran
tetangganya Brunei menanti penuh debar dalam saingan kumpulan B, di Stadium
Negara Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.
Kemantapan Sabah, bukan sahaja
memiliki penyerang berwibawa David Rocastle dan Saphou Lasey tetapi dikawal penjaga
gol nombor satu negara, Khairul Azman Mohamad yang kini semakin sukar untuk
ditewaskan.
Bagaimanapun, Brunei yang
sebelum ini hanya seri 4-4 dengan Pahang masih mampu melakukan kejutan menerusi
gandingan berbisa Patrick Akapo dan Mohd. Iman Bothwell.
Pahang pula terpaksa mencari
penawar sekalipun berdepan tugas berat kerana menghadapi Perak yang impikan
kemenangan selepas tewas 0-2 kepada Sabah dan seri 1-1 dengan Sarawak.
Kumpulan A juga menarik
membabitkan pertemuan dua jaguh, juara Perdana Satu Pulau Pinang dan juara
Perdana Dua Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Selepas tewas kepada Kuala
Lumpur, pastinya Pulau Pinang tidak boleh lagi beraksi sambil leka, malah
menuntut dua kembali gandingan importnya, Merzagua Abderrazzak dan Riyard Abbas
menggegarkan jaring lawan.
Namun, bukannya mudah untuk
menggertak Terengganu yang semakin bergaya di bawah bimbingan jurulatih Abdul
Rahman Ibrahim berdasarkan kemampuannya setakat ini.
Kuala Lumpur yang semakin
dihormati selepas mencipta kemenangan ke atas Pulau Pinang akan diberi
tentangan sengit oleh Negeri Sembilan.
Dalam perlawanan kumpulan A, di
Stadium Persatuasn Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) Cheras, skuad warga kota akan
membariskan penyerang S. Paidiya Rau dan Mior Nor Samsul Kamal.
Sebaliknya, Negeri Sembilan
turut mempertaruhkan harapan kepada Abdul Halim Jantan atau Affendi Julaihi
untuk menggegarkan jaring lawan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1010&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4P5kGWbkV
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan