ARKIB : 12/10/1998
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak
Pahang (PBNP) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meminta pengurusan skuad Pahang
mencari punca yang menyebabkan prestasi skuad berkenaan terus menurun, lapor
YUSWANDI MAJID.
Beliau berkata, pengurusan
skuad Piala Malaysia Pahang harus menyelesaikan segera masalah berkenaan dalam
apa jua keadaan bagi mengembalikan kecemerlangan pasukan berkenaan.
''Saya hampa dengan prestasi
Pahang dalam persaingan Piala Malaysia yang menurun secara mendadak,'' katanya
kepada pemberita di Kuantan, kelmarin.
Beliau berkata, Pahang yang
sudah melepaskan lapan gol dalam dua perlawanan menentang Brunei dan Sabah
sudah tentu memberi satu petanda yang kurang baik.
Prestasi Pahang yang kurang
meyakinkan terutama dalam pertemuan ketiga malam semalam semasa tumbang 1-2
kepada Perak 1-2 di Kuantan sudah menimbulkan keresahan peminat sendiri.
Pahang yang juga merupakan naib
juara Liga Perdana kini sekadar memungut satu mata dari tiga perlawanan serta
menduduki tangga tercorot kumpulan B.
Sebelum itu, Pahang sekadar
seri 4-4 dengan Brunei dalam perlawanan pembukaan di Stadium Darulmakmur dan
tumbang kepada Sabah 1-4 di Kota Kinabalu.
Dalam perlawanan malam semalam,
Pahang masih gagal menyerlah dan sering kali kehilangan bola terutama pada
babak pertama.
Nasib Pahang bagaikan sudah
jatuh ditimpa di tangga apabila pemain pertahanannya Suhami Mohd. Nor
diperintah keluar padang kerana membentes penyerang Perak, V. Saravanan di
dalam kotak penalti.
Jaringan melalui tendangan
penalti yang disempurnakan Roslan Hamid itu, meninggalkan Pahang dalam
kedudukan yang tertekan kerana ketika ketinggalan 0-2, skuad Tok Gajah itu
terpaksa pula beraksi dengan 10 pemain.
Tengku Abdullah menegaskan,
pengurusan Pahang perlu memperbetulkan setiap masalah yang berlaku sebelum
terus menggugat peluang meraih kejuaraan dalam Piala Malaysia.
''Saya mengharapkan skuad
Pahang melakukan sesuatu dalam kancah Piala Malaysia setelah kecewa dalam Liga
Perdana.
''Pihak pengurusan harus
membuat sesuatu dan diharap ada pembaharuan dan perubahan dilakukan bagi
membolehkan skuad Tok Gajah membaiki kedudukan,'' katanya.
Sementara itu, ketika ditanya
mengenai sasaran dan peluang Pahang untuk menjuarai Piala Malaysia, Tengku
Abdullah berkata, skuad itu akan menumpukan setiap perlawanan sebelum
memikirkan untuk mencapai tujuan berkenaan.
''Kita mengambil sikap untuk
menumpukan satu-satu perlawanan dan berharap akan dapat melepasi halangan untuk
ke peringkat seterusnya,'' ujarnya.
Beliau berharap pemain Pahang
dapat menunjukkan permainan yang lebih berkualiti dalam perlawanan seterusnya
dan terus berjuang walaupun ketinggalan.
''Saya harap setiap pemain
dapat menampilkan aksi bermutu tinggi dan tidak memikirkan kedudukan, kerana
walaupun ketinggalan tidak bermakna semuanya sudah berakhir,'' katanya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1012&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4P6d1dQHT
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan