ARKIB : 06/04/1999
PENDAHULU Liga Perdana Satu,
Pahang akan memastikan pungutan tiga mata penuh apabila bertandang ke Stadium
Barakas untuk menentang tuan rumah, Brunei, malam ini.
Sekalipun di atas kertas, skuad
Tok Gajah dijangka tidak berdepan masalah besar menumbangkan Brunei yang
menghuni tangga tercorot, namun ia bukan tugas mudah buat pemangku jurulatih,
Fuzzeimi Ibrahim.
Hakikatnya, Brunei pasti
menyimpan cita-cita meraih kemenangan pertama selepas tertekan dengan empat
keputusan kalah di tangan lawan, malah beraksi di tempat sendiri pasti memberi
kelebihan buat tuan rumah.
Begitupun, Pahang tetap
mengharapkan tuah meneruskan kecemerlangan seperti ketika menumpaskan Negeri
Sembilan 5-0, di samping khidmat penyerang berbisa, Azizul Kamaluddin atau Wan
Rohaimi Wan Ismail untuk memecah kebuntuan.
Wan Rohaimi sudah mempamerkan
kehebatan apabila dua jaringannya memastikan kemenangan selesa 2-0 Tok Gajah ke
atas Terengganu baru-baru ini.
Kini pilihan di tangan Fuzzeimi
sama ada menurunkan Wan Rohaimi ataupun Azizul kerana Pahang biasanya
menggunakan seorang penyerang apabila bermain di gelanggang lawan.
Fuzzeimi menyedari sejarah
pertemuan lalu antara kedua-dua pasukan lebih memihak kepada Brunei, namun
beliau tetap mahukan masa penuh 90 minit dimanfaatkan oleh anak buahnya dalam
memburu kemenangan.
''Brunei memang belum pernah
menang ketika beraksi di gelanggang sendiri musim ini, tetapi mereka juga
mempunyai kekuatan bila beraksi di tempat sendiri.
''Kita cuba mengekalkan
prestasi seperti yang ditunjukkan ketika bertemu Negeri Sembilan Sabtu lalu dan
meneruskan strategi berkesan itu kerana semua pemain bebas daripada
kecederaan,'' katanya.
Tahap kecergasan tinggi skuad
Tok Gajah turut menceriakan Fuzzeimi dalam menerajui kejayaan Pahang dalam
mengekalkan rekod tanpa kalah, di samping mengumpul sembilan mata hasil dua
keputusan menang dan dua seri.
Selain itu, Pahang juga
berdepan tugas getir mengekalkan kedudukan di tangga teratas berikutan penghuni
tangga kedua, Sarawak yang juga memiliki sembilan mata mungkin mampu merampas
kedudukan itu.
Jika tewas kepada Brunei,
sementara Sarawak pula berjaya mengetepikan Terengganu di tempat sendiri, maka
pastinya Pahang terpaksa melepaskan gelaran pendahulu liga.
Apapun, difahamkan Fuzzeimi
sudah mempunyai resepi terbaik dan bakal menurunkan gandingan paling mantap
bagi memastikan Tok Gajah tidak tumbang di Stadium Balakas, malam ini.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0406&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RS8u3naP
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan