ARKIB : 04/02/1999
PAHANG akan mengatasi halangan
utamanya dengan menagih komitmen dan semangat daripada para pemain dalam
usahanya membentuk pasukan mantap sebagai persiapan menghadapi persaingan bola
sepak Liga Malaysia musim ini, lapor ZULKEFLI HAMZAH.
Untuk itu, latihan ketenteraan
di 8 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kuala Lipis selama enam hari bermula
Isnin lalu diharapkan dapat menyuburkan semula kekuatan mental, fizikal dan
semangat pemain.
Pahang yang dibarisi 12 pemain musim
lalu, manakala selebihnya pemain Liga Simpanan dan negeri lain ternyata nampak
lemah dari aspek itu.
Jurulatih, Alan Davidson yang
turut bersama pemain di kem itu mengakui semangat pemain adalah rendah tetapi
beliau yakin secara perlahan-lahan boleh ditingkatkan.
''Kalau sudah ada semua
ciri-ciri ini, mudahlah untuk saya melakukan perancangan bagi memastikan
sekurang-kurangnya satu piala di tangan kita.
''Ini kerana setakat ini
semangat pemain begitu rendah dan usaha perlu dilakukan bagi memastikan
kedudukan pasukan berada pada tahap yang diharapkan,'' katanya.
Malah beliau telah mengaturkan
beberapa perlawanan persahabatan dengan pasukan lain yang dikatakan mempunyai
reputasi yang baik untuk melihat kemampuan dan tahap skuad Tok Gajah.
Kata Alan, tujuh perlawanan
telah diatur dengan Terengganu, Johor, Johor FC dan Negeri Sembilan dan
perbincangan sedang dibuat untuk pertemuan dengan skuad Perak dan Pulau Pinang.
Pahang juga, tambah beliau,
berkemungkinan akan berpeluang bertemu dengan pasukan kebangsaan bawah 23 tahun
Uzbekistan pada 27 Januari ini.
Dalam menilai kualiti pasukan
Pahang yang kebanyakannya dibarisi pemain muda, Alan menyatakan bahawa ia masih
menjadi tanda tanya.
''Hanya beberapa pemain
mempunyai kualiti yang baik termasuk Azizul Kamaluddin,'' katanya yang turut
melahirkan kebimbangannya berikutan kekosongan tiga posisi utama yang
ditinggalkan oleh pemain import.
Katanya, beliau kini masih
mencari pemain muda termasuk dari skuad Liga Simpanan yang mempunyai kualiti
dan bertubuh besar khususnya untuk diletakkan di posisi pertahanan.
Adunan pemain yang ditetapkan
oleh Persatuan Bolasepak Pahang (PBNP) juga tidak memberi banyak pilihan kepada
Alan untuk memilih pemain bersesuaian mengikut kehendaknya.
''Tetapi kita perlu bertindak
positif, saya selalu tekankan kepada pemain pentingnya kemenangan dalam setiap
perlawanan kepada pasukan dan pemain itu sendiri,'' ujarnya.
Dalam latihan enam hari itu,
para pemain didedahkan dengan corak latihan ketenteraan termasuk bangun awal
pagi dan menghadiri kelas motivasi pada waktu malam.
Semua pemain tidak terkecuali
mengikuti aktiviti lasak yang dijalankan walaupun ada yang mengadu tidak tahan
dengan corak latihan yang dibuat.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4PsPn5RcX
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan