ARKIB : 12/04/1999
JURULATIH Pahang, Fuzzeimi
Ibrahim kini masih tercari-cari formula yang cukup berkesan untuk mengekalkan
prestasi skuad Tok Gajah yang kini sering turun naik.
Selepas menjadi jaguh di
gelanggang sendiri, Tok Gajah menjadi pasukan belasahan ketika bertandang ke
gelanggang lawan, lapor BORHAN ABU SAMAH.
Fuzzeimi memikul tanggungjawab
berat kerana selain berusaha meningkatkan tahap kecergasan para pemain, beliau
juga perlu menggarap strategi yang berkesan dalam masa yang begitu suntuk
selepas mengambil alih tugas dari Alan Davidson.
Kekurangan tahap kecergasan
menyaksikan Pahang terpaksa bekerja keras ketika menentang Negeri Sembilan dan
para pemainnya longlai ketika bertandang ke Stadium Barakas sewaktu berdepan
dengan Brunei.
Kesannya masih ketara ketika
menentang Kuala Lumpur yang menyaksikan para pemain masih lembap dalam merebut
bola menyebabkan Pahang agak sukar menggugat pasukan warga kota yang dianggotai
barisan pemain muda.
Hanya pada separuh masa kedua
sahaja gerakan yang diatur oleh Pahang lebih lancar sehingga memaksa pasukan
pelawat hanya bertahan.
Selain itu mungkin strategi
Fuzzeimi menggunakan satu pemain penyerang ketika di gelanggang lawan perlu
diubah.
Taktik itu berkesan ketika di
bawah bimbingan Jorgen Erik Larsen yang memiliki tonggak pertahanan import
kental Emmanuel Kofi Ampiah.
Namun tugas itu kini dipikul
oleh Azhar Kamaluddin yang tidak begitu kebal menghadapi asakan bertali arus.
Sebaliknya Fuzzeimi perlu
menggunakan kelebihan di bahagian serangan yang ditunjangi oleh Azizul
Kamaluddin dan Wan Rohaimi Wan Ismail untuk memaksa lawan bertahan.
Kombinasi pemain itu tidak
boleh dipisahkan. Ini terbukti apabila kedua-dua pemain diturunkan di
gelanggang sendiri lebih banyak gol dapat dijaringkan.
Bagaimanapun Fuzzeimi ketika
ditemui selepas perlawanan menentang Kuala Lumpur berkata: ''Saya berpuas hati
kerana setiap empat peluang diperoleh satu gol berjaya dihasilkan,'' katanya.
Sumber=Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0412&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4RTz4B1Fx
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan