ARKIB : 29/01/1999
WALAUPUN baru memikul
tanggungjawab sebagai Jurulatih Pahang, Alan Davidson telah mengenal pasti
kelemahan barisan pertahanan menjadi punca kepada persembahan tidak bermaya
pasukan itu musim lalu.
Davidson yang pernah mengemudi
pertahanan Pahang selama lima tahun sejak 1992, berkata, kelemahan pertahanan
menjadi punca utama kegagalan mengharungi kempen Piala Malaysia tahun lalu.
''Berdasarkan kajian yang saya
jalankan, Pahang mempunyai jentera penyerang yang cukup tajam dan tidak
menghadapi masalah untuk menjaringkan gol.
''Tetapi dalam masa yang sama
benteng pertahanan Pahang terlalu lemah sehingga menyebabkan gol Pahang mudah
dibolosi lawan,'' katanya ketika ditemui di Kuantan, kelmarin. Beliau mengambil
alih sebagai jurulatih Rabu lalu.
Tambahnya, analisis yang dibuat
mendapati Pahang menjaringkan 20 gol dan dalam masa yang sama juga melepaskan
30 gol pada Liga Perdana, manakala pada Piala Malaysia pasukan itu menjaringkan
sembilan gol dan melepaskan 19 gol.
Menurut Davidson, keadaan itu
menunjukkan hakikat pertahanan Pahang perlu disusun semula dengan taktik yang
baru dan dibekalkan dengan semangat yang lebih kental.
Ujarnya, para pemain Pahang
akan menjalani latihan ala tentera di pangkalan Angkatan Tentera Kuala Lipis
pada minggu depan.
''Latihan keras itu diharap
akan dapat mempersiapkan mental dan fizikal para pemain untuk mengharungi Liga
Perdana dan kempen Piala Malaysia,'' katanya.
Pahang bukanlah pasukan mudah
diperkecilkan kemampuannya, pada tahun 1993 pasukan yang turut dikenali dengan
gelaran Tok Gajah itu menjuarai Piala Sumbangsih dan mengulanginya pada tahun
1995.
Pahang juga merangkul gelaran
juara Piala Malaysia pada tahun 1994 dan muncul juara Liga pada tahun 1995
serta menjuarai Piala FA dan muncul naib juara Piala Malaysia pada tahun yang
sama.
Bagi menghadapi cabaran musim
ini Pahang yang menggunakan 70 peratus tenaga muda berharap mengembalikan
maruah sebagai pasukan elit Pantai Timur.
Davidson berkata, beliau tidak
mempunyai masalah dengan pemain senior seperti Azizul dan Azhar Kamaluddin kerana
telah memahami corak permainan mereka.
Bagaimanapun, katanya, pemain
muda seperti Jalaludin Jaafar dan Khairul Nizam Haniff perlu berusaha keras
untuk mempersiapkan diri mereka.
Selain Azhar dan Azizul, Pahang
turut mengekalkan para pemain musim lalu seperti Shahrulnizam Sahat, Ali Tahar,
Ahmad Shaharuddin Rosdi, Zuraimi Hassan (kedua-dua kini menyarung jersi
kebangsaan), Mudzar Mohamad, Jalaludin Jaafar, Khairulniza Mustafa dan Suhaimi
Mohd Noor.
Muka-muka baru ialah Alif
Rohaimi Ismail, Tuan Rosli Tuan Shaari, Wan Rohimi Wan Ismail, Za Zakaria,
Khairunizam Haniff, Rizal Abdul Ghani, P. Ramachandran, Darul Nazri Danial dan
Azihan Kamaluddin.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Prc8Zyk9
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan