PEMAIN Pahang, Chinedu Dike
meraikan jaringan gol ketiga bersama rakan sepasukan, Muhammad Fazly Mazlan
ketika menentang JDT dalam suku akhir Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan
hari ini. - UTUSAN/ AHMAD ZAKKI JILAN
Mohamad Shofi Mat Isa
01 April 2017 11:42 PM
KUANTAN 1 April - Skuad Tok Gajah
memanfaatkan peluang bermain di laman sendiri selepas menewaskan Johor Darul
Ta’zim (JDT) 3-1 dalam saingan Piala FA suku akhir pertama di Stadium Darul
Makmur di sini malam ini.
Stadium Darul Makmur bergegar
pada minit ke-13 menerusi jaringan pembukaan Tok Gajah hasil tandukan cantik
Ahmad Syamim Yahya yang melepasi jangkauan penjaga gol JDT, Izham Tarmizi
Roslan.
Jaringan yang menggamatkan
stadium yang dihadiri kira-kira 30,000 penyokong tuan rumah itu adalah hasil
hantaran Kapten Pahang, Matthew Davies.
Bagaimanapun, jaringan pembukaan
Tok Gajah itu tidak bertahan lama apabila kesilapan penjaga gol Pahang, Wan
Muhamad Azraie Wan Teh minit ke-21 yang gagal menangkap bola dengan baik
mengundang padah apabila bola muntah disambar Marcos Antonio untuk gol
penyamaan skuad Harimau Selatan.
Pada minit ke-30, penyerang JDT,
Ahmad Hazwan Bakri melakukan cubaan cantik menerusi rembatan kencang dari
bahagian kiri gawang tuan rumah selepas berjaya melepasi beberapa pertahanan
Tok Gajah namun berjaya ditepis keluar Wan Muhamad Azraie.
Skuad Tok Gajah yang dipimpin
jurulatih Dollah Salleh juga berpeluang menambah jaringan namun bola tendangan
Matthew Davies minit ke-41 dari sebelah kanan gawang lawan berjaya ditangkap
kemas Izham Tarmizi
Bermula separuh masa kedua,
Pahang tidak menunggu lama untuk menambah jaringan menerusi Matheus Alves pada
minit ke-48 yang berjaya melambungkan bola menewaskan Izham Tarmizi yang
sedikit berada di luar kotak penalti.
Taktik Dollah membawa masuk Chinedu
Dike menggantikan Ashari Samsudin membuahkan hasil selepas Dike menambah
jaringan Pahang pada minit ke-66 menjadikan kedudukan 3-1. - UTUSAN ONLINE
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/tok-gajah-benam-harimau-selatan-1.464500#ixzz4d4uWy9W9
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan