KUANTAN
29 April - Walaupun belum cukup rehat dan masih lagi keletihan,
barisan pemain Pahang diingatkan supaya melupakannya dan sebaliknya
fokus kepada misi menumpaskan Negeri Sembilan dalam separuh akhir
pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur di sini malam esok.
Pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh
mengakui hampir keseluruhan pemainnya masih keletihan dan situasi itu
jelas dapat dilihat ketika mereka menghadapi Felda United dalam kempen
Liga Super baru-baru ini.
“Saya harap
pemain-pemain tidak lepaskan peluang untuk mendapatkan tempat dalam
perlawanan final. Saya lihat, semua pemain pun memandang ke hadapan
untuk mendapatkan tempat ke final.
“Rasa letih harus dilupakan kalau mahu memenangi
perlawanan. Saya harap beraksi di tempat sendiri akan beri kelebihan
kepada pemain-pemain yang keletihan,” katanya di sini hari ini.
Selepas
menyingkirkan juara tahun lalu Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi
agregat 4-3 dalam suku akhir kedua Piala FA di Johor Bahru pada Ahad
lalu, Pahang melayan pula kunjungan Felda United di Stadium Darul Makmur
tiga hari kemudian dalam kempen liga yang berakhir seri 1-1.
Dalam
keadaan masih keletihan, mereka perlu pula berhadapan dengan Negeri
Sembilan dalam separuh akhir pertama Piala FA di Kuantan malam esok.
Dollah
meminta anak buahnya untuk kekal fokus kepada perlawanan menentang
Negeri Sembilan walaupun akan beraksi tanpa penyerang dari Gambia,
Mohamadou Sumareh yang digantung satu perlawanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan