MOHAMADOU
SUMAREH (tengah) menjadi ‘ayam tambatan’ Pahang dalam setiap perlawanan
tetapi penggantungan yang dikenakan terhadapnya sudah pasti mengganggu
rentak Pahang untuk beraksi dalam separuh akhir Piala FA di Stadium
Darul Makmur, Kuantan Ahad ini.
KUANTAN
27 April - Keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggantung
Mohamadou Sumareh menjelang aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Darul
Makmur Ahad ini disifatkan sebagai tindakan tidak masuk akal seperti
yang sering disaksikan dalam sesebuah kisah dongeng.
Pengendali Pahang, Dollah Salleh
berkata, beliau mengakui berang selepas dimaklumkan berhubung
penggantungan penyerang importnya itu.
“Apabila
dapat tahu, saya terperanjat. Saya masih tidak faham dengan jelas,
kenapa Sumareh digantung dan kalau dilihat semula video (rakaman),
memang jelas Sumareh tidak pukul sesiapa, sebaliknya dia yang dipukul.
“Ini sudah macam cerita dongeng (tidak masuk
akal), orang yang tidak bersalah pula yang kena hukum,” katanya selepas
perlawanan Liga Super Pahang menentang Felda United di Stadium Darul
Makmur di sini malam semalam.
Selepas berjaya
menyingkirkan Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi agregat 4-3 pada suku
akhir kedua Piala FA di Larkin baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa
Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu mengeluarkan kenyataan
berhubung penggantungan satu perlawanan serta denda RM3,000 ke atas
Sumareh bagi aksi menentang Negeri Sembilan dalam saingan separuh akhir
pertama Piala FA.
Hukuman tersebut dikenakan
ke atas penyerang dari Gambia itu kerana dikatakan mengasari pemain
JDT, Afif Fazail berselang seminit selepas Sumareh mencetak gol
kelayakan agregat Pahang pada minit ke-86.
Mengulas
lanjut, Dollah berkata, keputusan penggantungan Sumareh juga
mengelirukan kerana penyerang itu tidak melakukan sebarang kesalahan
serta tidak dilayangkan sebarang kad.
“Pihak
Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) tidak perlu meminta sebarang
penjelasan, kerana kami masih tidak menerima sebarang surat penjelasan
berhubung hukuman itu daripada FAM.
“Saya
bimbang kalau surat penggantungan dikeluarkan pada hari perlawanan.
Kalau itu berlaku, ia sudah macam satu penganiayaan kepada pemain. Itu
undang-undang diktator,” tegasnya.
Sementara
itu, Sumareh ketika ditemui turut mengakui masih bingung berhubung punca
sebenar dikenakan hukuman sedemikian meskipun sudah berkali-kali
menyaksikan semula rakaman insiden berkenaan.
“Kalau
jurulatih terkejut, sudah tentu saya lebih terkejut. Tolong beritahu
saya mengenai apa sebenarnya kesalahan saya. Begitu jelas saya tidak
menolak (mengasari) sesiapa, semua ini sungguh tidak masuk akal.
“Saya
benar-benar tidak senang hati dengan keputusan itu kerana dihukum atas
kesalahan yang tidak saya lakukan. Saya minta tolong berilah penjelasan
kepada saya,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan