09 April 2017 3:00 A
KUALA LUMPUR 8 April – Pahang
bangkit daripada ketinggalan untuk menjaringkan dua gol dalam masa dua minit
babak kedua sekali gus kembali ke kedudukan teratas Liga Super selepas melakar
kemenangan 2-1 ke atas Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV.
Meskipun berkongsi mata dengan
Kedah namun, kemenangan tipis itu sudah cukup untuk Pahang menerajui carta
menerusi kelebihan jaringan setelah Kedah sekadar mengutip satu mata di Alor
Setar.
Kelantan bermula garang di tempat
sendiri dan hanya memerlukan 16 minit selepas sepak mula untuk menjaringkan gol
pendahuluan menerusi Mohammed Ghaddar yang merembat deras di dalam kotak
penalti untuk menewaskan penjaga gawang Pahang Wan Mohd. Azraie Wan Teh.
Walau bagaimanapun Pahang
mempamerkan kebangkitan selepas rehat dan selepas pemain sayap lincahnya Wan
Zaharul Nizam Wan Zakaria meledakkan gol penyamaan pada minit ke-60, Tok Gajah
menambah gol kedua hanya dua minit kemudian menerusi pemain dari Brazil,
Metheus Alves Leandro yang memperdayakan barisan pertahanan Kelantan untuk
menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.
Sementara itu, Lang Merah gagal
memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila sekadar seri 1-1 dengan
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) di Stadium Darul Aman dalam
perlawanan yang terganggu oleh hujan lebat.
Pasukan tuan rumah dikejutkan
dengan jaringan pembukaan oleh penyerang dari Argentina, Lucas Sebastian
Espindola pada minit ke-28, dan walaupun anak buah Tan Cheng Hoe hanya
memerlukan lapan minit kemudian untuk menyamakan kedudukan menerusi Zachary
Michael Anderson namun usaha mereka untuk mencari gol penyamaan gagal.
Dalam pada itu, Perak gagal mengubat
kekecewaan selepas tersingkir daripada saingan Piala FA apabila sekadar seri
2-2 dengan T-Team di Stadium Perak.
Permainan yang bermula hambar
disemarakkan dengan rembatan sulung ke gawang lawan oleh Yashir Pinto seawal
minit ke-12 untuk meletakkan tuan rumah di depan.
The Titans lebih bertenaga pada
awal babak kedua dan menyumbat dua gol menerusi Dilshod Sharofetdinov dan
Muhammad Fakhrurazi Musa, masing-masing pada minit ke-48 dan 71 tetapi sepakan
penalti Abdul Hadi Yahya pada saat-saat akhir masa tambahan menyelamatkan
maruah The Bos Gaurus daripada tumpas di laman sendiri.
Di Stadium Majlis Perbandaran
Selayang pula Selangor meraih tiga mata penuh setelah menewaskan Sarawak 2-1.
sumberArtikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/pahang-rampas-semula-kedudukan-pendahulu-1.467098#ixzz4dhVphi7C
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan