ARKIB : 22/08/2003
SKUAD Pahang lega dengan
kemenangan pada perlawanan sulungnya menentang Kelantan kelmarin walaupun
persembahan pasukan berkenaan dilihat masih belum begitu mantap, lapor YUSWANDI
MAJID.
Hakikat berkenaan diakui sendiri
oleh penolong jurulatih Pahang, Ahmad Yusof yang menyifatkan pasukan itu masih
dalam proses menyesuaikan diri dengan format baru permainan.
``Pasukan ini sebenarnya masih
`belajar' untuk menyesuaikan diri dengan format 4-4-2, berbanding format lama,
3-5-2.
``Perubahan ini biasa berlaku
selepas pertukaran jurulatih dan memerlukan sedikit masa untuk para pemain
menyesuaikan diri,'' katanya ketika ditemui.
Pada 7 Ogos lalu, pasukan Pahang
dikejutkan dengan perletakan jawatan jurulatihnya dari Brazil, Ralf Borges atas
alasan peribadi.
Perletakan jawatan itu memberi
tamparan hebat kepada skuad Pahang yang ketika itu bersiap sedia menghadapi
kempen Piala Malaysia.
Dengan keputusan yang diambil
Borges itu, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) mengambil keputusan
melantik Yunus Alif untuk menjadi jurulatih.
Yunus bagaimanapun ketika ini
masih berada di Jerman bagi mengikuti kursus kejurulatihan dan hanya dijangka
pulang minggu depan.
Ahmad berkata, bagi perlawanan
seterusnya menentang Johor di Stadium Larkin, esok pasukan Pahang perlu
meningkatkan ketajaman jentera serangan.
Katanya, jentera serangan Pahang
jelas tumpul pada perlawanan menentang Kelantan sehingga menyaksikan banyak
peluang keemasan terlepas begitu sahaja.
``Perlawanan menentang Kelantan
adalah satu permulaan yang baik namun para pemain perlu meningkatkan lagi
persefahaman selain membiasakan format baru itu,'' katanya.
Beliau berkata, para pemain juga
perlu lebih fokus terutama di bahagian serangan bagi mencatatkan kemenangan
yang lebih selesa.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0822&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4dHpP66qr
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan