AHAD, 23 APRIL 2017 @ 11:40 PM
Oleh Rizar Mohd Noor rizar@bh.com.my
PEMAIN Pahang, Sumareh
Mohamadou (kanan) meraikan jaringan gol pertama pada aksi suku akhir kedua
Piala FA 2017, di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Johor Bahru. - Foto Mohd
Azren Jamaludin
JOHOR BAHRU: Hajat Johor Darul
Ta'zim (JDT) untuk mempertahankan kejuaraan Piala FA musnah selepas sekadar
menewaskan Pahang 2-1 pada aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Tan Sri
Hassan Yunus, Larkin, sebentar tadi.
Kemenangan tipis itu menyaksikan anak buah
Benjamin Mora terpaksa akur tewas 3-4 secara agregat sekali gus membolehkan
Pahang mara ke separuh akhir menentang Negeri Sembilan.
Apapun, Mohamadou Sumareh
menjadi wira buat skuad Tok Gajah selepas menjaring gol penting pada hujung
perlawanan sekali gus meranapkan impian Harimau Selatan. Tuan rumah yang
menguasai perlawanan sebaik babak pertama bermula tidak menunggu lama untuk
mencipta jaringan pada minit kelima selepas bola umpanan Safiq Rahim tepat
kepada Gonzalo Cabrera yang bertindak menyusup masuk ke dalam kotak penalti
sebelum merembat bola leret menewaskan penjaga gol, Wan Muhd Azraie Wan Teh
untuk merapat jurang agregat 2-3.
Tersentak dengan gol awal itu
anak didik Dollah Salleh kembali menyusun strategi untuk mencari gol penyamaan
namun bola tandukan Heo Jae-won pada minit ke-10 berpunca daripada sepakan
sudut Mohd Syamim Yahya ditepis penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan.
Gabriel Guerra nyaris menambah
jaringan buat tuan rumah pada minit ke-18 selepas bertindak menggelecek dua
pertahanan skuad Tok Gajah namun bola rembatan deras memaksa Wan Muhd Azraie
merebahkan badan untuk menampan bol. Usaha berterusan tuan rumah membuahkan
hasil pada minit ke-22 selepas bola lorongan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham
tepat kepada Guerra yang berjaya melepasi perangkap ofsaid sebelum merembat
bola leret menewaskan Wan Muhd Azraie untuk meletak skuad Harimau Selatan 2-0
dan berada di landasan layak ke separuh akhir menerusi agregat 3-3 tatkala memiliki
kelebihan jaringan gol di tempat lawan.
Sepakan lencong Guerra di luar
kotak penalti pada minit ke-26 hampir memerangkap Wan Muhd Azraie yang tampak
sudah tertewas namun bola sekadar sipi di sebelah kiri pintu gol memberi
kelegaan buat skuad Tok Gajah daripada dibolosi kali ketiga.
Sepanjang 20 minit babak kedua,
tuan rumah yang tampak begitu selesa dengan kedudukan 2-0 mula beraksi dengan
corak permainan berhati-hati dan kerap menutup ruang pelawat daripada bertindak
melakukan percubaan berbahaya.
Namun ketika aksi berbaki empat
minit, pelawat bangkit mencipta gol hasil sepakan lambung pemain gantian Muhd
Nurridzuan Abu Hassan tepat kepada Mahamadou Sumareh yang menanduk bola
menewaskan Izham Tarmizi untuk memastikan Pahang mara ke separuh akhir menerusi
agregat 4-3.
SUMBER-Selanjutnya di :
http://www.bharian.com.my/node/275072
Tiada ulasan:
Catat Ulasan