ARKIB : 09/01/2006
PETALING JAYA - Kisah duka
Pahang dikecam hebat gara-gara tewas empat perlawanan berturut-turut terlerai
sudah apabila memahat kemenangan pertama menewaskan MPPJ 2-0 di Stadium
Petaling Jaya, kelmarin.
Dua gol menerusi Bernard
Tchoutang dan Indra Putra Mahayuddin sudah cukup melegakan buat Pahang
menghakis segala kecaman dan mengembalikan semula keyakinan untuk bangkit
memberi saingan.
Sejurus pengadil perlawanan, P.
Sundrasingram meniup wisel penamat, semua pemain Pahang mengukir wajah gembira
dan paling ceria adalah jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan.
Kemenangan yang amat bermakna
buat Pahang menamatkan penantian tanpa mengutip sebarang mata dan paling
penting semangat pemain sudah pulih semula.
``Kemenangan ini adalah
permulaan yang baik buat Pahang dengan corak dan semangat juang yang
ditunjukkan dengan MPPJ, saya yakin keadaan ini akan berterusan selepas ini,''
ujarnya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.
Beliau mengakui aksi tempoh 90
minit yang ditunjukkan oleh kesebelasan utama jauh lebih bertenaga jika
dibandingkan dengan empat perlawanan yang melihat skuad Tok Gajah rebah di
gelanggang sendiri dan di tempat lawan.
Menurut beliau, kejayaan ke
atas MPPJ itu telah mengembalikan semula semangat dan keyakinan pemain untuk
mempertahankan prestasi itu mengharungi saingan liga seterusnya.
``Boleh dikatakan di semua
posisi sama ada di bahagian pertahanan, tengah dan serangan, mereka telah
menunjukkan satu corak permainan yang cukup menyakinkan.
``Saya lihat komitmen dan
kesungguhan tinggi yang ditunjukkan pemain tidak seperti perlawanan sebelum
ini,'' ujarnya.
Jika corak permainan itu
dikekalkan oleh pemain Zainal Abidin yakin skuad Pahang mampu bersaing dengan
pasukan lain dan memperbaiki kedudukan di tangga terbawah liga.
Pahang mengejutkan MPPJ seawal
minit kedua menerusi tandukan kencang penyerang import, Tchoutang selepas
menyambut baik sepakan sudut.
Indra pula menambah gol kedua
dengan sepakan mudah selepas bola sepakan kencang Tchoutang mengenai tiang gol
MPPJ pada minit ke-52.
Pahang masih kekal di tangga
terbawah liga dengan memungut tiga mata daripada lima perlawanan.
Sebelum ini skuad Tok Gajah
tewas kepada Negeri Sembilan (0-1), Selangor (1-3), Perak (0-2) dan Melaka
Telekom (1-2).
Skuad itu masih mempunyai baki
satu perlawanan bertemu dengan Perlis yang ditunda akibat hujan lebat 24
Januari lalu.
Zainal Abidin menambah,
kemenangan itu akan menjadi bekalan terbaik apa lagi untuk mengembalikan semula
keyakinan peminat terhadap Pahang.
Selepas ini Pahang akan menanti
kunjungan Pulau Pinang E&O di gelanggang sendiri untuk menamatkan saingan
pusingan pertama.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4jacw9acG
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan