ARKIB : 09/01/2006
KUALA LUMPUR - Kancah saingan
Liga Super mengharungi satu lagi perlawanan menamatkan saingan pusingan pertama
semakin bertambah menarik.
Perlawanan kali keenam kelmarin
merubah skrip asal selain menjanjikan persaingan lebih getir apabila
mengharungi pusingan kedua minggu depan.
Kekebalan pasukan berstatus
kelab MPPJ bertakhta selaku pendahulu Liga Super tidak bertahan lama.
Cengkaman mereka dalam tempoh
dua minggu berakhir kelmarin selepas tewas 2-0 kepada Pahang di tempat sendiri
ketika saingan terdekat Negeri Sembilan menewaskan Perlis 2-1.
Kekalahan pertama MPPJ itu
membuka ruang buat Negeri Sembilan mengambil alih teraju selaku pendahulu Liga
Super yang baru.
Bagaimanapun, MPPJ masih boleh
menarik nafas lega menduduki tangga kedua liga dipisahkan dengan dua mata
berbanding Negeri Sembilan.
Saingan tampak lebih menarik
apabila dua gergasi bola sepak Malaysia, Selangor dan Pahang yang longlai
kembali bertenaga memberikan saingan.
Juara Piala Malaysia, Selangor
yang tewas dalam tiga perlawanan berturut-turut menerima suntikan semangat
apabila menamatkan badi kekalahan menewaskan Telekom 2-1 hasil sentuhan
jaringan Brian Fuentes.
Kemenangan tersebut pastinya
menceriakan kembali pengurus, Datuk Satim Diman dan jurulatih, Dollah Salleh
yang sebelum ini dibuai keresahan kekalahan demi kekalahan dialami skuad Merah
Kuning.
Begitu juga dengan Pahang tewas
dalam empat perlawanan berturut-turut yang menghadirkan kecaman ke atas
jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan turut ceria akhirnya memahat kemenangan
pertama.
Dua gol menerusi Bernard
Tchoutang dan Indra Putra Mahayuddin menewaskan MPPJ 2-0 memulihkan semula
semangat pemain Pahang yang luntur sebelum ini.
Lebih mencuri tumpuan melihat
reputasi Perak yang gah di awal musim mencetus kontroversi dengan gelagat
pengurus pasukan Jamal Nasir Rasdi dan ketua pasukannya, Ahmad Shahrul Azhar.
Berang apabila Perak tewas 1-2
dan menyalahkan mutu pengadilan pada perlawanan itu, skuad Seladang tambah duka
dengan giliran Pulau Pinang memalitkan malu.
Perak kalah lagi apabila tumpas
3-1 kepada Pulau Pinang meneruskan episod malang Perak sesudah Ahmad Shahrul
digantung setahun gara-gara aksi ganas terhadap pegawai perlawanan dan Jamal
Nasir pula digantung daripada sebarang aktiviti bola sehingga beliau hadir
untuk perbicaraan Lembaga Tatatertib FAM pada 16 Januari ini.
Skuad Singa Utara mengalami
kekalahan ketiga rebah 2-1 kepada Negeri Sembilan meletakkan pasukan itu berada
di kedudukan dua tangga terbawah liga dengan empat mata.
Ketika ini Negeri Sembilan
selaku pendahulu liga diikuti oleh MPPJ, Telekom, Perak, Pulau Pinang,
Selangor, Perlis dan Pahang.
Perlawanan terakhir menamatkan
pusingan pertama liga Sabtu ini membabitkan Telekom bertemu MPPJ, Pahang dengan
Pulau Pinang E&O, Perak menanti kunjungan Negeri Sembilan dan Perlis
menentang Selangor.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4jadxXT00
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan