ARKIB : 29/04/2006
Oleh: AINOL AMRIZ ISMAIL
SEREMBAN Semangat Negeri
Sembilan Naza tidak mudah dilondehkan Pahang, walaupun mereka berusaha
memalukan skuad Jang itu pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium
Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.
Dengan bersandarkan barisan
senior yang cukup kental dan teguh mental mereka, Negeri Sembilan Naza pasti
tidak mahu dimalukan Pahang, apatah lagi di hadapan peminat dan penyokong setia
skuad Jang di gelanggang sendiri.
Jurulatih Negeri Sembilan Naza,
K. Devan berkata, kesemua pemain senior, Khairul Anuar Baharum, Idris Karim,
Che Hishamuddin Hassan, Ching Aik Hong dan Rezal Zambery Yahya telah menunjukkan
komitmen yang tinggi sepanjang sesi latihan minggu ini.
Mereka berada di tahap
memuaskan dan pasti melakukan kejutan pada aksi bertemu Pahang di gelanggang
sendiri, katanya di sini, semalam.
Menurut K. Devan, kembalinya
Che Hishamuddin dan Christian Bekamengo dari kecederaan semasa beraksi
menentang Telekom Melaka dalam saingan Liga Super minggu lalu, nyata memberikan
kekuatan semangat kepada skuad Negeri Sembilan Naza untuk membaham ego Pahang
dalam saingan itu nanti.
Katanya, Negeri Sembilan Naza
tidak bermain dalam keadaan tertekan berbanding Pahang yang terlalu optimis,
bahawa mereka berupaya menjulang trofi Piala FA ini.
Saya telah katakan kepada
pemain, kalau anda sudah berada dalam empat pasukan terbaik, lebih baik
teruskan aksi akhir.
Biarkan Pahang dengan
impiannya, kita pasti menyekat cita-cita ciptaan Pahang itu," jelasnya.
K. Devan juga gembira apabila
Buston Nagbe Brown dan Jason Williams juga berada dalam tahap terbaik untuk
dimasukkan dalam kesebelasan utama pada pertemuan itu, walaupun tanpa kelibat
Mohd. Zaquan Adzha dan Mohd. Aidil Zafuan yang kini menyertai skuad kebangsaan
bawah 21 tahun di Perak.
Persatuan Bola Sepak Negeri
Sembilan (PBNS) juga banyak memberikan motivasi dan atas sikap prihatin dalam
menjaga kebajikan telah menyebabkan pemain merasa, inilah masanya untuk
buktikan kepada persatuan dan penyokong dengan mencatatkan kejayaan dalam aksi
menentang Pahang, ujarnya.
Berdasarkan rekod pertemuan
sebelum ini, Negeri Sembilan Naza mencatatkan keputusan seimbang.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4l4uikb1f
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan