ARKIB : 23/11/2005
Oleh: AMRAN MULUP
PETALING JAYA - Hanya pemain
bola sepak Pahang satu-satunya pasukan daripada Liga Super yang lulus seratus
peratus dalam ujian kecergasan (cooper test) yang dijalankan oleh Persatuan
Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini.
Jawatankuasa Pertandingan FAM,
Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, sebahagian kecil pemain daripada
Liga Perdana dan Liga Super yang tidak lulus, perlu menjalani ujian terakhir di
Institut Sukan Negara (ISN) pada 30 November ini.
``Ini ujian terakhir pemain
dalam Liga Perdana dan Liga Super termasuk mereka yang gagal baru-baru ini.
``Jika mereka gagal ujian
kecergasan di ISN nanti, FAM tidak akan mengeluarkan lesen bagi membolehkan
mereka beraksi dalam liga musim 2005/2005 pada 3 Disember ini,'' ujarnya dalam
sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan di
Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Seramai 250 pemain daripada
lima pasukan Liga Super dan Liga Perdana menjalani ujian kecergasan baru-baru
ini.
Beliau menegaskan, FAM tidak
akan bertolak ansur ke atas pemain yang gagal.
``FAM tidak akan mengeluarkan
lesen kepada mereka yang gagal. Tanpa lesen FAM, mereka tidak dibenarkan
beraksi,'' tegasnya.
Bagaimanapun katanya lagi,
pemain kebangsaan dikecualikan daripada ujian tersebut.
Sehubungan itu, beliau meminta
pihak pengurusan pasukan memberikan perhatian terhadap ujian kecergasan 30
November ini.
``Semua persatuan negeri dan
kelab sudah dimaklumkan pentingnya ujian ini.
``FAM hanya mahu pastikan hanya
pemain yang cergas bermain dalam Liga Malaysia,'' ujarnya.
Bagi pemain yang sudah mengikat
kontrak tetapi gagal dalam ujian beliau berkata, pemain yang gagal masih boleh
menjalani ujian itu April tahun depan.
Katanya, tiga pasukan Liga
Super dan Liga Perdana tidak menjalani ujian itu baru-baru ini kerana mereka
berlatih di luar negara.
Dalam pada itu, beliau
memaklumkan satu seminar pengurusan pasukan akan diadakan 24 November ini.
Katanya, kursus itu penting
kerana mereka yang hadir pada seminar tersebut akan memperoleh lesen bagi
membolehkan berada di bangku simpanan dalam satu-satu perlawanan.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4jN7XX1nw
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan