21 Jun 2017
PBNP
SERAMAI 134 pemain dan pegawai
Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) menandatangani Ikrar Bebas Rasuah
(IBR) bagi memastikan sukan bola sepak tanah air bebas daripada rasuah dan
salah guna kuasa.
Program dianjurkan bersama
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu tidak hanya melibatkan
pasukan utama Pahang yang beraksi dalam Liga Super tetapi turut disertai
pasukan Piala Presiden (bawah 21 tahun) dan pasukan Piala Belia (bawah 19
tahun).
Lafaz ikrar diketuai Anggota
Majlis PBNP Datuk Mukaram Shah dengan disaksikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad serta Presiden PBNP
Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.
Menurut beliau usaha tersebut
dilihat amat penting dalam meningkatkan mutu permainan bola sepak di negara ini
sekali gus membebaskan pemain daripada gejala rasuah.
"Segalanya bermula
daripada individu itu sendiri yang mungkin mahu mencapai sesuatu di luar
kemampuannya sehingga terjebak dengan gejala ini," katanya ketika berucap
pada majlis tersebut di sebuah hotel di sini.
Turut hadir Timbalan Presiden
PBNP, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan
Sukan Pahang, Datuk Mohd Johari Hussain.
Mukaram berkata jika dibiarkan
ia boleh menjejaskan reputasi dan mutu
bola sepak di negara ini bukan sahaja pada peringkat dalam negara tetapi juga
antarabangsa dan dalam masa sama bookie
yang menjadi dalang perbuatan itu meraih keuntungan berlipat kali ganda.
Tengku Abdul Rahman berkata
sehubungan itu pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM agar
pembangunan bola sepak yang dilaksana tidak terbantut dengan perkara negatif
seperti ini.
Sementara itu, Dzulkifli Ahmad
berkata setiap individu di negara ini termasuk atlet, pegawai sukan dan
pengadil wajib memiliki rasa tanggungjawab untuk menolak rasuah kerana ia
membawa banyak keburukan.
"Gejala rasuah akan
menyumbang kepada kemerosotan prestasi dan menjejaskan kualiti liga bola sepak
negara ini dan akan menyebabkan penaja sukan itu menjauhkan diri jika rasuah
terus berleluasa.
"Hal ini hanya akan
merugikan kita dan SPRM tidak mampu untuk membasminya sendirian. Oleh sebab
itu, kita mengadakan majlis ikrar ini bagi mewujudkan rasa tanggungjawab dalam
pasukan," katanya.
Beliau berkata pihaknya akan
memantau dari semasa ke semasa senario bola sepak negara dan memastikan ikrar
yang dilafaz dilaksanakan sepenuhnya bagi memastikan sukan nombor satu negara
itu tidak dikhianati. – Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 21
Jun 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan