ARKIB : 28/12/2005
Oleh: ALI MAHMOOD
PENOLONG jurulatih Pahang,
Ahmad Yusof mengendalikan sesi latihan pasukan Pahang di Kuantan semalam
menjelang perlawanan Liga Super menentang Telekom Melaka Sabtu ini.
PARA pemain Pahang diingatkan
supaya memberikan sepenuhnya komitmen ketika beraksi di padang jika tidak mahu
terus kecundang kepada pasukan lawan dalam perlawanan bola sepak Liga Super
musim ini.
Pengurus pesukan Pahang atau
lebih dikenali sebagai pasukan Tok Gajah, Datuk Shahiruddin Moin berkata,
kegagalan pasukan bimbingan bekas pemain kebangsaan, Zainal Abidin Hassan
mencatatkan kemenangan pertamanya ketika menentang Telekom Melaka boleh
menyebabkan peminat bola sepak negeri itu hilang kepercayaan.
``Oleh itu pemain-pemain perlu
menggunakan peluang terbaik bermain di padang sendiri pada perlawanan Sabtu ini
untuk menebuskan kekecewaan kalah tiga kali dalam perlawanan sebelum ini.
``Jika kecundang sekali lagi
lebih-lebih lagi bermain di tempat sendiri boleh menyebabkan peminat tidak lagi
akan menyokong pasukan Pahang,'' katanya semasa melihat pemain-pemain Pahang
menjalani latihan di padang Taman Gelora, Kuantan petang ini.
Namun katanya, kegagalan dalam
perlawanan sebelum ini bukan kerana pemain-pemain Tok Gajah tidak bagus tetapi
kerana mereka gagal memanfaat banyak peluang di depan pintu gol.
Sehubungan itu Shahiruddin
meminta Zainal supaya memberikan tumpuan latihan bagi memantapkan pemain
dibahagian penyerang supaya lebih bijak dan tidak mensia-siakan peluang yang
ada di depan pintu gol.
Malah faktor kecederaan
beberapa pemain dai bahaigan penyerang adalah antara punca yang menjadikan
Pahang kurang menyengat dan hanya berjaya menjaringkan satu gol semasa
menentang Negeri Sembilan dalam perlawanan pertama pasukan itu dalam kancah
Liga Super.
Bagaimanapun kata Shahiruddin,
beliau difahamkan oleh Zainal, Hairuddin Omar dan Rosdi Talib yang cedera
sebelum ini akan diturunkan dalam perlawanan menentang Telekom Melaka.
Selain itu pemain import
Pahang, Josiah Seton turut mengalami kecederaan dan tidak diturunkan dalam
perlawanan pasa Sabtu ini di Stadium Darul Makmur.
Setakat ini Josiah Seton hanya
sempat beraksi dalam satu perlawanan menentang Negeri Sembilan sebelum
mengalami kecederaan sementara Hairuddin dan Rosdi sudah pulih dan bersedia
untuk menggempur kubu lawan.
``Pahang sebenarnya adalah
pasukan yang masih kuat dan mempunyai ramai pemain yang bertenaga dan
berkemahiran tinggi, cuma hanya nasib sahaja yang masih belum memihak kepada
mereka.
``Rata-rata pemain Pahang
adalah berusia bawah 26 tahun kecuali Azizul Kamaluddin yang agak berusia,''
katanya.
Namun kata beliau, pasukan
Pahang perlu mencapai kemenangan menentang Telekom Melaka kerana kemenangan
yang pertama itu menjadi cukup penting untuk menyuntik semula semangat dan
komitmen pemain.
Sehubungan itu Shahiruddin
meminta para pemain memberikan tumpuan seratus peratus semasa beraksi dan tidak
lagi mensia-siakan peluang yang terbuka di depan pintu gol, jika tidak Pahang
akan terus menduduki tangga tercorot musim ini.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jWpuwvDi
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan