MyMetroNode
Oleh Mohd Rafi Mamat
sukan@hmetro.com.my
Kuantan: “Saya terlalu sayangkan skuad Pahang dan peminat
setia Tok Gajah, tidak mungkin saya sanggup tinggalkan pasukan selepas tiga
musim berjuang memburu kejuaraan diimpikan.
“Perjuangan bersama pasukan Tok Gajah seolah-olah satu
keluarga yang begitu akrab dan setia memikul setiap tugas diamanahkan demi
menjaga maruah Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP),” kata kapten Pahang
Razman Roslan.
Menurutnya, keputusan kekal bersama Tok Gajah turut
dipengaruhi rasa hormat terhadap Presiden PBNP Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad
Shah yang mengharapkan dia dapat terus kekal mengemudi skuad itu musim depan.
Katanya, kesanggupan PBNP mengekalkan semua pemain
menambahkan lagi keyakinan untuk sekali lagi berjuang memburu kejayaan lebih
bermakna musim depan.
“Kepuasan saya bersama skuad Tok Gajah diperkuatkan lagi
dengan keselesaan isteri, Ozy Azeya Abdul Aziz, 29, dan anak, Muhammad Aryan
Rizqy, 1, dan Muhammad Arraz Rizqy, 4, menetap di sini yang dianggap seperti
kampung sendiri.
“Tinggal di sini tidak ada kesesakan jalan raya seperti
di Kuala Lumpur, makanan juga sedap. Keselesaan itu memberikan peluang
sepenuhnya kepada saya memberi tumpuan kepada pasukan,” katanya yang berasal
dari Kajang, Selangor.
Razman berkata, perjanjian kontrak baru bersama PBNP
musim depan akan dilakukan hujung bulan ini selepas kontrak lama berakhir.
“Saya mohon maaf kepada Persatuan Bolasepak Negeri
Selangor (FAS) kerana tidak dapat bersama mereka musim depan, saya yakin
pengurusan FAS memahami keadaan seterusnya merestui keputusan saya.
“Satu hari nanti saya pasti pulang ke pangkuan Selangor.
Tumpuan saya kini hanya untuk pasukan Pahang yang begitu ghairah memburu
kejayaan dalam Liga Malaysia (Liga M) terutama selepas berjaya menjulang Piala
Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia musim ini,” jelasnya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November
2014 @ 5:05 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan