MyMetroNode
Oleh Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain pertahanan Pahang Matthew Davies
mengakui ‘sedih’ apabila melihat ramai tonggak utama Tok Gajah berpindah ke
pasukan lain musim depan.
Bagaimanapun, baginya sudah menjadi lumrah bagi pemain
bola sepak profesional untuk berhijrah sekiranya ada tawaran lebih menarik.
“Memang saya berasa sedikit sedih kerana kami sebelum ini
sering beraksi bersama dalam pelbagai saingan tempatan (Liga Malaysia) atau
luar (Piala AFC). Namun apa yang berlaku sudah menjadi adat pemain bola sepak,”
katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2015.
Dalam majlis berlangsung di Sunway Pyramid Convention
Centre itu, pemain naturalisasi berusia 20 tahun itu memenangi kategori
Anugerah Pemain Muda Harapan Terbaik menerusi penampilan pertamanya dalam
kancah Liga Malaysia musim ini.
Davies mengetepikan pemenang musim lalu, Farhan Roslan
dari Kedah dan pemain tengah yang membantu Selangor merealisasikan Misi 33
Piala Malaysia, Nazmi Faiz Mansor.
Jelasnya, kejayaan itu untuk keluarga, rakan sepasukan
dan pengurusan Persatuan Bolasepak Pahang (PBNP) yang membantunya menjadi
pemain lebih baik.
“Satu penghargaan apabila dipilih ketua pasukan dan jurulatih
untuk memenangi anugerah ini. Ini detik terbaik kerjaya saya.
“Mungkin musim ini bukan terbaik buat Pahang, tapi
kejayaan ini menyuntik semangat saya untuk melakukan lebih baik musim depan,”
katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2015
@ 5:06 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan