MyMetroNode
Oleh Asrol Awang
sukan@hmetro.com.my
Kuantan: Menyedari laluan berliku bakal dihadapi, kapten
Pahang Mohd Razman Roslan mahu rakan sepasukan mempamerkan kebangkitan untuk
mencatat kemenangan ke atas Kedah pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia
di Stadium Darul Makmur, malam esok.
Razman berkata, kekalahan 1-3 pada aksi pertama sudah
dilupakan dan semangat juang serta sokongan moral peminat pencetus kebangkitan
pasukan demi memastikan kemenangan untuk layak ke final.
Katanya, kekalahan itu tidak perlu dikenang sebaliknya
tumpuan kini terarah kepada mempamerkan semangat juang tinggi mencatat
kemenangan sekali gus mempertahankan Piala Malaysia.
"Misi kami adalah meraih kemenangan kerana ia
peluang untuk layak ke final dan misi mempertahankan piala berprestij itu.
"Kami berjanji beraksi pada tahap terbaik dan tidak
mengulangi kesilapan lalu.
"Segala kelemahan akan segera diperbaiki untuk
mengekang asakan lawan dan pada masa sama jentera serangan mempamerkan sentuhan
berbisa," katanya.
Razman berkata, kembalinya Dickson Nwakaeme dan Damion
Stewart, masing-masing di bahagian serangan dan pertahanan mampu memperkasakan
skuad Tok Gajah.
Katanya, prestasi tidak konsisten di semua bahagian
diharap tidak berulang kerana Kedah memiliki kelebihan dua gol manakala Pahang
pula perlu meraih kemenangan sekurang-kurangnya dua gol.
"Saya harapkan sokongan padu penyokong Pahang
memberikan suntikan moral kepada kami merealisasikan impian ke final.
"Tanpa sokongan mereka, Pahang tidak akan mencapai
kejayaan pada tahap ini dan sebagai balasannya kami berjanji untuk mempamerkan
aksi terbaik," katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober
2014 @ 5:02 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan