ARKIB : 20/07/1998
TIADA apa yang dapat dikatakan oleh para pemain Pahang
yang tewas 1-2 kepada Skuad Olimpik 2000 di Stadium Darulmakmur, kelmarin dan yang
paling menyesali keadaan itu ialah Zuraimi Hassan.
BORHAN ABU SAMAH melaporkan,
Zuraimi yang hanya memanaskan kerusi simpanan sepanjang musim ini diturunkan
bagi menggantikan Muadzar Mohamad, penjaga gol utama yang cedera.
Sentuhan Zuraimi yang cukup cemerlang pada musim lalu
jelas bagaikan tidak menjadi, apatah lagi apabila diasak tanpa henti oleh
barisan serangan Olimpik.
Ketika ditemui di sini, semalam, Zuraimi
berterus-terang meminta maaf di atas persembahan yang kurang bermaya yang
dipamerkan olehnya.
Dia berharap para penonton dapat memaafkannya kerana
gagal mengekang serangan lawan akibat telah terlalu lama tidak bermain.
''Saya mengaku memang salah saya gol kedua yang juga
gol kemenangan lawan adalah berpunca daripada tindakan agak lewat keluar untuk
menangkap yang dilorongkan oleh penyerang Olimpik.
''Kesilapan itu menyebabkan saya tidak dapat tidur
semalaman kerana memikirkannya, saya turun dengan azam membuktikan kemampuan
saya pada perlawanan pertama ini,'' ujarnya.
Menurutnya, pada separuh masa pertama dia telah
membaca gerakan barisan hadapan lawan yang gemar melorongkan bola untuk
melakukan serangan pantas dan saya berjaya mematahkannya.
''Tetapi separuh masa kedua serangan bertubi-tubi
seumpama itu oleh pasukan lawan menyaksikan barisan pertahanan pasukan termasuk
saya agak kelam kabut,'' jelasnya.
Zuraimi berazam akan memperbaiki kelemahannya melalui
latihan yang lebih intensif sekali gus berjanji akan memberi persembahan yang
terbaik pada perlawanan akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan