ARKIB : 18/10/1998
BUJANG SENANG mengganas di lubuk sendiri apabila
melibas Pahang 3-1 pada pertandingan bola sepak Piala Malaysia bagi kumpulan B
di Stadium Sarawak, Petra Jaya, malam tadi.
Gol-gol kemenangan Sarawak diperoleh menerusi ketua
pasukan, William Bone (6), Mohd. Ali Sapiee (21) dan Alistair Edwards pada
minit ke-41.
Manakala gol sagu hati skuad Tok Gajah dijaringkan
oleh Ahmad Shaharuddin Rosdi minit ke-10.
Kemenangan yang dilakarkan di hadapan kira-kira 5,000
penonton benar-benar melegakan Bujang Senang dalam usaha mencari tempat ke
separuh akhir kempen Piala Malaysia musim ini.
Ketika Sarawak ceria mengutip tiga mata penuh, Pahang
terus sugul kerana tewas tiga kali berturut-turut dalam empat perlawanan mereka
setakat ini.
Beraksi di gelanggang sendiri, juara Sumbangsih
mempamerkan persembahan cemerlang dengan melakukan percubaan seawal minit pertama
melalui William Bone.
Empat minit kemudian Ramos Sari berpeluang mencipta
jaringan, tetapi rembatannya melewati sasaran.
Dalam serangan bertali arus, Bobby Chua dijatuhkan
pemain pertahanan Pahang, Jalaludin Jaafar minit keenam dan William menyempurnakan
sepakan penalti yang diberikan pengadil dari Terengganu, Mat Lazim Awang Hamat.
Biarpun ketinggalan 0-1, semangat pemain Tok Gajah
tidak pernah luntur malah mereka terus mengatur serangan ke kubu Sarawak. Dalam
satu serangan kilat, tampil Ahmad Shaharudin Rosdi menghukum barisan pertahanan
lawan dengan merembat masuk untuk gol penyamaan minit ke-10.
Perlawanan bertambah rancak dan kedua-dua pasukan
saling menghidu ruang untuk membina jaringan.
Hasil daripada satu gerakan cantik, Mohd. Ali
menyambut baik hantaran Ramos Sari untuk menghasilkan gol kedua Sarawak minit
ke-21.
Pemain import, Alistair Edwards memperkukuhkan
kedudukan dengan gol ketiga selepas memanfaatkan hantaran Ramos empat minit
sebelum permainan separuh masa pertama dihentikan.
Pada babak kedua perlawanan, kedua-dua pasukan terus
berusaha untuk menambah jaringan, tetapi setiap percubaan yang dilakukan tidak
menepati sasaran.
Oleh: ANUAR ARIFFIN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan