ARKIB : 07/10/1998
SABAH menang bergaya apabila menewaskan Pahang 4-1
pada perlawanan kumpulan B bola sepak Piala Malaysia di Stadium Likas, Kota
Kinabalu, semalam, lapor HARON SHAFEI.
Gol pertama Sabah diperoleh pada minit ke-23 separuh
masa pertama hasil sepakan pemain importnya, Veselin Kovasevic yang menerima
hantaran cantik Yap Wai Loon di luar kawasan petak penalti.
Gol kedua Sabah diperoleh melalui pemain import Sabah,
Saphou Lassy pada minit ke-30 separuh masa pertama setelah menerima hantaran
lintang yang dibuat oleh Mokhtar Dayoh di luar petak penalti.
Sabah menghasilkan gol ketiga menerusi Saphou Lassy
hasil hantaran Suharmin di luar kawasan petak penalti pada minit ke-67.
Dalam kerancakan pasukan Sabah mengatur serangan
bertubi-tubi ke kubu pasukan Pahang, pemain import Pahang, Melnikov Viatcheslav
berjaya mencuri ruang pada minit ke-81 apabila menghukum kelalaian pertahanan
Sabah dengan menyepak masuk bola menewaskan penjaga gol, Khairul Azman Mohamad.
Sorakan hampir 6,000 penonton bergema lagi apabila
Saphou sekali lagi bertindak cemerlang menyumbat gol keempat Sabah pada minit
ke-83.
Saphou yang dijatuhkan oleh pemain import Pahang, Kofi
Ampiah dalam petak penalti telah mendapat sepakan percuma. Bagaimanapun
sepakannya dapat ditampan penjaga gol Muadzar Mohamad.
Saphou yang tidak membuang masuk terus menyepak bola
masuk ke dalam pintu gol Pahang. Kofi yang bertindak kasar ke atas Saphou telah
menerima kad kuning dari pengadil.
Pemain-pemain Pahang yang diketuai Azizul Kamaludin
telah cuba bangkit membuat serangan bertubi-tubi ke kawasan pertahanan Sabah
tetapi serangan mereka berjaya dikekang oleh pemain pertahanan Sabah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan