ARKIB : 11/04/2007
PENYERANG Pahang, Muhammad
Juzaili (kiri) gagal melepasi benteng pertahanan pasukan Tampines Rover dari
Singapura, Muhammad Sharif (tengah) dan penjaga gol, Rezal Hassan dalam
perlawanan Piala AFC di Stadium Petaling Jaya, semalam. Tampines menang 4-1.
PETALING JAYA Pahang kini
boleh memberikan tumpuan penuh dalam saingan Liga Malaysia setelah kemaraan ke
peringkat seterusnya dalam Kumpulan F Piala AFC 2007 seakan sudah tertutup
rapat ekoran kekalahan 1-4 kepada Tampines Rovers di Stadium MBPJ, Kelana Jaya
di sini, semalam.
Kekalahan kepada kelab dari
Singapura itu adalah buat kali ketiga berturut-turut dialami oleh skuad Tok
Gajah secara tidak langsung menyukarkan laluan mereka untuk mara ke peringkat
suku akhir.
Pahang terus kekal menduduki
tangga terbawah Kumpulan F setelah tewas semua perlawanan tanpa memungut
sebarang mata.
Dalam perlawanan pertama
sebelum ini Pahang tewas 4-0 kepada Osotpa M-150 dari Thailand dan Mohun Bagan
dari India 2-1.
Buat Tampines Rovers kemenangan
itu mencerahkan laluan mereka untuk mara ke suku akhir bersaing dengan Mohun
Bagan dan Osotpoa M-150 dengan mengutip tujuh mata.
Aksi longlai dan tidak bermaya
begitulah penampilan kesebelasan utama Pahang memulakan aksi yang lewat
setengah jam dimulakan ekoran hujan lebat di stadium MBPJ.
Kerancakan permainan kedua-dua
pasukan terhalang dengan keadaan padang becak dan menyukarkan pergerakan
pemain.
Pelawat tidak perlu menunggu
lama ketika babak perlawanan masuk keminit kedua mereka memperoleh gol
pendahuluan hasil tandukan Mustafic Fahrudin menewaskan penjaga gol Tok Gajah,
Mohd. Iqbal Mohd. Suhimi.
Di masa kecederaan babak
pertama hendak ditamatkan Tampines Rovers meledakkan jaringan kedua menerusi
tandukan Muhammad Riduan.
Kelab dari Singapura itu
menambah derita Pahang apabila Aliff Shafaein menjadikan kedudukan 3-0 menerusi
jaringannya pada minit ke-65 sebelum Sutee Suksomit menyumbat gol keempat pada
minit ke-78.
Pahang meraih gol saguhati
menerusi jaringan Mohd. Kamal Rodriajat pada minit ke-81.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0411&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4tVtLaAPI
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan