ARKIB : 03/01/2007
KUALA LUMPUR Jurulatih
Pahang, Ahmad Yusuf mengingatkan anak buahnya agar tidak sesekali terbawa-bawa
dengan kedudukan ketiga mereka dalam persaingan bola sepak Liga Super sekarang.
Katanya, enam mata yang turut
diperoleh daripada tiga perlawanan Tok Gajah memang diidamkannya tetapi
perjalanan liga masih jauh dan banyak pasukan yang perlu ditentang musim ini.
Pahang perlu berpijak di bumi
nyata dengan kedudukan ini. Mungkin hari ini kami berada di antara kelompok
teratas tetapi kalah perlawanan berikutnya mampu menurunkan kami tiba-tiba,
katanya.
Tok Gajah bagaimanapun masih
boleh berbangga kerana mampu mengutip dua kemenangan di tempat lawan,
masing-masing ke atas Melaka dan Telekom 2-1 selain berterima kasih dengan aksi
cemerlang Rashid Mamud.
Tiga jaringan pemain berusia 28
tahun itu sekali gus menampung ketiadaan ayam tambatan Pahang, Indra Putra
Mahyuddin yang tercedera kaki dan masih menjalani pemulihan di Wisma FAM,
Kelana Jaya.
Pahang yang kalah 2-1 dalam
perebutan Piala Sultan Ahmad Shah, 16 Disember lalu, bakal bermain selaku tuan
rumah kali pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan dengan menanti kunjungan
DPMM Brunei.
Kesungguhan pasukan telah
terbukti dengan kemampuan memenangi dua perlawanan di gelanggang lawan. Kali
ini kami ada alasan yang lebih kuat untuk menang kerana turun sebagai tuan
rumah.
Ia juga akan menggalakkan
lebih ramai peminat ke stadium dan menyokong kami sepanjang musim ini, kata
Ahmad yang menggantikan Zainal Abidin Hassan selepas cuma menjadi penolong
jurulatih, musim lalu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4sMYHCC3X
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan