ARKIB : 29/04/2007
Oleh Aizawati Ahmad
KUANTAN 28 April Tengku Muda
Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah menang tanpa bertanding untuk
jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) selepas kekandanya,
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah melepaskan jawatan itu
setelah 23 tahun menerajui persatuan tersebut.
Tengku Abdul Rahman yang
sebelum ini merupakan penyandang jawatan Timbalan Presiden PBNP diumumkan
sebagai presiden baru pada Mesyuarat Agung Tahunan PBNP Ke-51 di Hotel Grand
Continental di sini, semalam. Bagaimanapun, kedua-duanya tidak dapat hadir ke
mesyuarat berkenaan kerana mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan.
Sementara itu, Pegawai Kewangan
Negeri Pahang, Datuk Muhammad Safian Ismail pula menang tanpa bertanding bagi
jawatan Timbalan Presiden PBNP.
Exco Pahang dan juga bekas
pengurus pasukan Tok Gajah, Datuk Shahiruddin Ab. Moin mengisi tempat bagi
jawatan Naib Presiden I PBNP manakala Datuk Mustaffar Kamal A. Hamid selaku
Naib Presiden II PBNP.
Bagi dua lagi kekosongan tempat
untuk jawatan Naib Presiden PBNP akan dilantik sendiri oleh Tengku Abdul Rahman
dalam masa terdekat ini.
Pada majlis itu juga, sebanyak
10 orang telah terpilih memegang jawatan Ahli Majlis Halimi Kamaruzzaman.
Tengku Abdul Rahman merupakan
presiden yang ketiga menerajui PBNP yang ditubuhkan pada 14 Ogos 1959 selepas
Sultan Ahmad Shah menyandangnya pada tahun 1959 hingga 1984 dan Tengku Abdullah
pada 1984 hingga 2007.
Dalam pada itu, Muhammad Safian
ketika ditemui berkata, sebagai Timbalan Presiden PBNP yang baru, beliau akan
memastikan kedudukan kewangan persatuan itu benar-benar kukuh dengan
mengamalkan dua pendekatan iaitu meningkatkan hasil dan mengurangkan kos
pengurusan persatuan.
Selain berperanan
menggerakkan persatuan-persatuan bola sepak di setiap daerah, saya juga akan
mencari jalan terbaik untuk memastikan kehadiran penonton ke stadium turut
meningkat, katanya.
Menurut Muhammad Safian,
sokongan moral daripada para peminat bola sepak tempatan amat diperlukan bagi
menyuntik semangat pasukan Pahang untuk beraksi dengan lebih baik pada setiap
perlawanan yang mereka harungi.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4tYbJwVqy
© Utusan Melayu (M) Bhd