Asrol Awang
sukan@hmetro.com.my
Kuantan: Pahang yang beraksi
cemerlang membenam T-Team 5-0 minggu lalu, mahu meneruskan rentak cemerlang
apabila bertemu Sarawak di Stadium Negeri, Kuching, malam esok.
Justeru, pemain tengah Wan
Zaharulnizam Wan Zakaria (gambar) menuntut rakan sepasukan supaya mengekalkan
permainan konsisten untuk merealisasikan misi meraih tiga mata.
Biarpun sedar Sarawak belum
mencatat kemenangan dalam dua perlawanan dan kelebihan beraksi di laman sendiri
pasti digunakan sepenuhnya untuk menggembirakan penyokong, Wan Zaharulnizam
atau Kecik tetap percaya Tok Gajah mampu mengutip tiga mata.
Bagi pemain kelahiran Tumpat,
Kelantan itu, jika komitmen dan semangat juang tinggi dipersembahkan seperti
ketika menewaskan T-Team, mereka pasti tidak pulang hampa.
Pada pertemuan menentang T-Team
itu, Wan Zaharulnizam antara watak penting dalam memperkasakan jentera tengah
skuad Tok Gajah.
Biarpun kali pertama beraksi
bersama Pahang musim ini selepas tidak bermain ketika pasukannya seri 1-1
dengan Perak pada aksi pembukaan liga, pemain berusia 26 tahun itu sudah mula
mempamerkan keserasian.
Pengendali Pahang Dollah Salleh
menggandingkan Wan Zaharulnizam dengan Kiko Insa, Ahmad Syamim Yahya dan
Mohamadou Sumareh yang memperkemaskan jentera tengah pasukan.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Jumaat, 3 Februari 2017 @ 11:34 AM
DARI SELURUH LAMAN WEB
Tiada ulasan:
Catat Ulasan