Pahang, Kelantan sama handal
Oleh HAFIZ
ABBAShafiz.abbas@kosmo.com.my
INDRA (tengah) diasak dua
pemain Pahang pada aksi Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur,
Kuantan malam tadi.
PAHANG berjaya mengikat juara
bertahan, Kelantan dengan keputusan seri 1-1 pada saingan pembuka tirai
Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.
Pada awal babak permainan,
kedua-dua pasukan dilihat berusaha mengasak ke arah kubu lawan bagi mencari gol
awal.
Pada minit kelapan, Kelantan
memperoleh gol pembukaan menerusi jaringan kapten, Mohd. Badhri Radzi.
Percubaan terbaik skuad Tok
Gajah muncul pada minit ke-17 apabila Matias Ruben Conti berjaya menanduk bola
ke gawang lawan selepas menerima hantaran lintang Mohd. Saiful Nizam, namun ia
sedikit tinggi melewati palang.
Pada minit ke-36, penyerang
berbisa Kelantan, Indra Putra Mahayuddin pula berjaya melepasi benteng
pertahanan Pahang tetapi rembatannya melepasi tiang gol.
Empat minit sebelum babak
pertama berakhir, pemain tengah Pahang, Mohd Amirulhadi Yahya pula merembat
dari luar kotak penalti, namun percubaannya itu sedikit tersasar.
Bersambung babak kedua, Pahang
dan Kelantan bermula garang untuk mencipta jaringan.
Namun, rentak Kelantan sedikit
terencat apabila terpaksa beraksi 10 pemain selepas Fakri Sharani dikenakan kad
merah setelah dia mengasari Mohd. Hafiz Kamal pada minit ke-64.
Pada minit ke-80, suasana
perlawanan makin panas. Kini, giliran Pahang pula tempang apabila R. Surendran
menerima kad merah kerana mengasari tonggak pertahanan Kelantan, Daudsu
Jamaluddin.
Pada minit ke-85, pemain import
Pahang, Damion Delano Stewart akhirnya berjaya memecah kebuntuan untuk
menyamakan kedudukan 1-1 menerusi tandukan kencang bagi menewaskan penjaga gol
Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.
Rujukan:
http://www.kosmo.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan