ZAMZURINA AHMAD | 29
Januari 2017 12:15 AM
Pemain Pahang, Matheus Alves
Leandro (tengah) cuba mengawal bola ketika diasak pemain pertahanan T-Team,
Abdoulaye Maiga dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan
semalam. Pahang menang 5-0. bernama
KUANTAN 28 Jan. - Meskipun
menang dengan jaringan besar ke atas T-Team malam tadi, pasukan Pahang masih
belum boleh mendabik dada kerana ujian sebenar belum mereka tempuhi, kata bekas
jurulatih kebangsaan Dollah Salleh.
Dollah, yang kembali melatih
skuad Tok Gajah musim ini, berkata kekuatan sebenar pasukannya belum dapat
dipastikan selagi tidak berdepan dengan tiga pasukan hebat iaitu Kedah,
Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Selagi belum membuat
perhitungan dengan tiga pasukan itu, kekuatan Pahang masih belum teruji dan
saya tidak dapat menilai sepenuhnya.
“Pemain-pemain dilihat
menunjukkan segala yang diharapkan (dalam perlawanan malam tadi) dan pasukan
juga nampak mantap.
“Masih terlalu awal untuk
mengatakan Pahang sudah mendapat (kesebelasan) yang terbaik. Perjalanan masih
jauh dan yang penting pemain-pemain dapat mengekalkan prestasi,” katanya
kepada pemberita selepas pasukannya membelasah T-Team 5-0 di Stadium Darul
Makmur.
Menurut Dollah, ujian sebenar
pertama untuk Pahang ialah di Stadium Darul Aman pada 11 Februari ini, diikuti
pertemuan dengan JDT (3 Mac) di Larkin sebelum kembali beraksi di Stadium Darul
Makmur untuk berdepan Selangor (15 April).
Mengulas prestasi anak buahnya,
Dollah berkata beberapa pemain import seperti Mohamadou Sumareh serta Matheu
Alves Leandro telah mempamerkan segala yang diharapkannya.
“Pemain-pemain import banyak
membantu pasukan terutama di bahagian serangan. Selain itu, pemain tempatan,
Wan Zaharulnizam Wan Zakaria juga memainkan peranan dengan baik yang
memporak-perandakan T-Team.
“Sebenarnya, telah banyak
pertukaran (kesebelasan) pemain dibuat. Semasa menentang Perak (seri 1-1) pun
kita masih dalam keadaan terpaksa menukar pemain pada saat akhir.
“Dengan gandingan pemain-pemain
terbaik yang ada dalam pasukan sekarang ini, saya harap pemain lain juga dapat
menyerlahkan prestasi masing-masing,” jelasnya.
Pahang membuka tirai jaringan
seawal minit ke-13 menerusi Mohamadou manakala Matheu menjaringkan dua gol
(minit 54 dan 73) manakala Heo Jae Won Heo dan Chinedu Ezendu masing-masing
menyumbat satu gol pada minit ke-64 dan 84.
SUMBER- See more at:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/tok-gajah-belum-8232-tempuh-ujian-sebenar-1.437549#sthash.c9685dwH.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan