Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
SKUAD Pahang bertekad untuk
kembali menjadi pasukan digeruni pada kempen Liga M musim 2017.
PAHANG kini sudah berada pada
fasa terakhir untuk membentuk skuad mantap menjelang saingan Liga Malaysia
(Liga M) 2017.
Keutamaan adalah untuk
memastikan setiap posisi seimbang, terutamanya jentera pertahanan.
Ketua jurulatihnya, Dollah
Salleh berkata, beliau mahu pastikan skuad Pahang mantap di semua posisi
dalam usaha untuk mengembalikan kegemilangan Tok Gajah pada kancah Liga M
seperti mana yang telah dibuktikan dua tahun lalu.
Menurutnya, jika semua posisi
seimbang, maka ia akan memudahkan tugas mereka untuk merencanakan taktikal agar
Pahang kembali digeruni pada saingan liga tempatan.
Kata Dollah lagi, beliau bertekad
untuk memenuhi impian Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) untuk menjulang
sekurang-kurangnya satu trofi pada musim 2017 nanti.
Sebagai langkah untuk
merealisasikan harapan itu skuad tersebut dikatakan berbelanja agar besar
untuk mendapat beberapa pemain import dan tempatan.
Setakat ini, lapan pemain
tempatan yang sudah berada dalam perancangan mereka termasuk Christie
Jayaseelan, Ashari Shamsuddin, Muslim Ahmad, Jopsep Kalang Tie, Ahmad Nordin
Alias, Zubir Azmi, Ahmad Syamim Yahya serta Nurridzuan Abu Hassan.
“Kami masih lagi mencari pemain
untuk mengisi kekosongan pada posisi pertahanan dan dua pemain yang diuji dalam
aksi persahabatan menentang Kuantan FA baru-baru ini tidak mencapai tahap yang
dikehendaki. Pada perlawanan tersebut Pahang tewas 3-4,” jelas Dollah.
Menurutnya, beliau tidak
bimbang dengan kekalahan tersebut kerana ia merupakan medan buatnya menilai
pemain berkemampuan untuk diserapkan dalam skuad Pahang nanti.
Selain itu katanya, beberapa
pemain daripada pasukan lain telah menawarkan diri untuk menyertai Pahang
termasuk dua pemain import yang beraksi pada posisi serangan.
“Pemain-pemain ini mungkin akan
menjalani sesi ujian bersama Pahang pada 4 dan 5 Januari ini,” jelas Dollah.
Beliau menambah, skuad Tok
Gajah juga sedang mencari pemain dari negara Asia sama ada dari Indonesia,
Thailand, Myanmar atau negara Asia lain bagi memenuhi kuota Asia.
Mengulas mengenai khabar angin
yang menyatakan bekas pemain Pahang iaitu Damion Stewart dan Matias Conti yang
berminat kembali ke pangkuan pasukan tersebut, Dollah menjelaskan bahawa
perkara berkenaan terpulang kepada pemain itu sendiri.
“Perkara itu saya serahkan
kepada pemain itu sendiri tetapi buat masa ini pihak PBNP tidak menerima
sebarang permintaan daripada pemain terbabit. Jika betul, mereka perlu melalui
sesi ujian dan tiada tempat secara automatik buat mereka dalam pasukan,” jelas
Dollah
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4UiaChIGk
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan