Oleh
SHAHRULANOOR ISHAK
PEMAIN
Pahang, Wan Zaharulnizam (depan) berjaya meloloskan diri daripada kawalan
pemain T-Team pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam
kelmarin yang menyaksikan Pahang menang 5-0.
KEKUATAN
pasukan Pahang masih belum diuji sepenuhnya kerana saingan Liga Super kini
masih berada pada peringkat awal.
Demikian
tegas jurulatih Pahang, Dollah Salleh kelmarin selepas menyaksikan skuad
kendaliannya itu mencatat kemenangan besar, 5-0 ke atas T-Team di Stadium Darul
Makmur, Kuantan.
Dollah menyifatkan
kekuatan skuad Tok Gajah masih belum boleh dibanggakan selagi mereka tidak
membuat perhitungan dengan tiga pasukan yang dianggap terkuat pada kempen Liga
Super musim ini.
Menurutnya,
meskipun Pahang mencetak kemenangan bergaya selepas membelasah T-Team 5-0,
namun kekuatan sebenar pasukan itu hanya akan teruji sepenuhnya apabila mereka
bertemu Kedah, Selangor serta Johor Darul Ta’zim (JDT) nanti.
“Malam ini
(kelmarin), pemain-pemain telah menunjukkan segala yang diharapkan (ketika
membelasah T-Team) dan pasukan juga nampak mantap. “Tapi, selagi tidak berdepan
tiga pasukan terkuat pada kempen liga, saya tidak dapat menilai kekuatan Pahang
dengan sepenuhnya.
“Masih
terlalu awal untuk mengatakan Pahang sudah mendapat (kesebelasan) yang terbaik.
Perjalanan masih jauh dan apa yang penting, para pemain dapat mengekalkan
prestasi,” ujar Dollah ketika ditemui selepas berakhirnya perlawanan menentang
T-Team, malam kelmarin.
Ujian
sebenar yang pertama buat Pahang akan berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar
pada 11 Februari ini, diikuti cabaran perlawanan kedua menentang JDT (3 Mac) di
Larkin sebelum kembali beraksi di Stadium Darul Makmur untuk melayan kunjungan
Selangor pada 15 April depan.
Mengulas
prestasi ditunjukkan pemain Pahang ketika menundukkan T-Team, Dollah berkata,
beberapa tonggak import seperti Mohammadou Sumareh serta Matheu Alves Leandro
telah mempamerkan prestasi yang diharapkannya.
“Pemain-pemain
import banyak membantu pasukan terutama di bahagian serangan. Selain itu,
pemain tempatan, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria juga memainkan peranan terbaik
ketika memporak-perandakan T-Team.
“Sebenarnya,
telah banyak pertukaran untuk senarai kesebelasan utama dibuat sebelum ini.
Semasa menentang Perak pun kita masih dalam keadaan menilai pemain terbaik
untuk berada dalam skuad utama.
“Dengan
gandingan pemain-pemain terbaik yang ada dalam pasukan ketika ini, saya harap
pemain-pemain lain juga terus bekerja keras untuk meningkatkan prestasi
masing-masing,” ujar Dollah lagi.
Pada
perlawanan malam kelmarin, Pahang meraih gol menerusi Mohammadou pada minit
ke-13, diikuti dua gol menerusi Matheu (m-54 dan m-73), Jae-won Heo (m-64) dan
Chinedu Bright Ezendu (m-84).
Pahang yang
mengumpul empat mata selepas mengharungi dua perlawanan liga setakat ini telah
meletakkan skuad tersebut berada di puncak liga manakala JDT yang turut
mengutip empat mata berada di tempat kedua atas perbezaan jumlah jaringan gol.
Sumber-Artikel
Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0129&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4X8Mkt9E8
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan