MATHEUS
Alves Leandro (tengah) menjadi taruhan Pahang untuk memusnahkan gawang pasukan
lawan pada kempen Liga Super musim ini.
SAINGAN Liga
Super musim ini baru mengharungi dua perlawanan dengan Pahang sudah
memperlihatkan kebangkitan yang luar biasa.
Musim lalu,
skuad Tok Gajah tersebut hampir tersingkir ke saingan Liga Premier, namun
berjaya menyelamatkan diri pada saat akhir untuk terus kekal bersaing pada liga
utama negara itu.
Kejatuhan
juara Piala Malaysia 2013 dan 2014 itu pada musim lalu berpunca daripada
masalah dalaman yang menyaksikan mereka membuat pertukaran jurulatih selepas
Shaharuddin Rosdi digantikan dengan Razif Ismail.
Pergolakan
tersebut ternyata telah menjejaskan rentak Pahang yang sekadar menamatkan
kempen musim 2016 di tempat ke-12 liga dengan 24 mata.
Tahun ini,
persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) membuat keputusan untuk memberi
kepercayaan kepada bekas jurulatih skuad Harimau Malaysia, Dollah Salleh untuk
memimpin Tok Gajah dan setakat ini ia mula memperlihatkan perubahan dalam skuad
tersebut.
Walaupun
masih terlalu awal untuk meramalkan kemampuan Pahang musim ini tetapi
berdasarkan rentak permainan yang diperagakan dalam dua perlawanan terdahulu,
mereka sudah mula mendapat keyakinan dan mungkin menjadi antara pasukan pencabar
tahun ini.
Pada
perlawanan pembuka tirai menentang Perak di Ipoh, 21 Januari lalu, skuad
kendalian Dollah itu mencatat keputusan seri 1-1 sebelum membelasah T-Team 5-0
pada aksi kedua di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Jumaat lalu.
Ia
membuktikan bahawa barisan pemain Pahang sudah memulihkan keyakinan dan
bersedia untuk memberi cabaran pada saingan lima musim ini.
Namun,
Dollah tidak mahu skuad kendaliannya dianggap sebagai sebuah pasukan yang
mantap kerana baginya, Pahang masih belum diuji sepenuhnya.
Menurut
Dollah, buat masa ini kekuatan skuad Pahang belum dapat dinilai sepenuhnya
kerana saingan liga musim ini baru melalui dua perlawanan.
“Kami dalam
proses penyusunan semula dengan harapan dapat memberi cabaran kepada pasukan lain,
terutamanya gergasi bola sepak selatan, Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Apa pun
kami akan terus berusaha untuk mengekalkan momentum agar terus meraih keputusan
yang positif dalam perlawanan selepas ini. Kami juga belum diuji sepenuhnya
kerana masih belum berdepan dengan pasukan hebat seperti JDT, Kedah mahupun
Selangor.
“Kita akan
tengok macam mana respons para pemain apabila berdepan dengan tiga pasukan
gergasi itu nanti dan dari situ baru kita mendapat gambaran sebenar berkenaan
prestasi skuad Pahang musim ini.
“Namun, saya
tetap berharap agar barisan pemain Pahang dapat mempamerkan yang terbaik dalam
setiap perlawanan yang mereka harungi selepas ini,” jelas Dollah ketika ditemui
selepas aksi menentang T-Team di Kuantan, Jumaat lalu.
Selepas
mengharungi dua perlawanan setakat ini, Pahang berada di puncak liga dengan
mengumpul empat mata, manakala JDT dan Selangor yang turut mengumpul empat
mata, masing-masing menghuni tangga kedua dan ketiga.
Mereka hanya
dipisahkan dengan perbezaan jaringan dengan Pahang telah menghasilkan enam
jaringan dan bolos sekali.
Ia
membuktikan bahawa skuad Dollah itu boleh dikatakan agak mantap di bahagian
pertahanan dan serangan.
JDT pula
masih dilihat pencabar utama walaupun mereka kini bertukar jurulatih pada saat
akhir selepas Mario Gomez menamatkan kontraknya dengan pasukan Harimau Selatan
itu.
Tugas Gomez
diambil alih oleh jurulatih JDT II, Benjamin Mora yang sudah mula
memperlihatkan magisnya pada perlawanan kedua menentang Felda United, Jumaat
lalu.
Menurut Mora,
beliau memerlukan masa bagi memastikan JDT tetap unggul seperti mana yang
dibuktikan ketika di bawah kendalian Gomez musim lalu.
Turut
menjadi perhatian musim ini sudah pastinya Kedah, yang sudah menggenggam satu
piala musim ini selepas berjaya menewaskan JDT untuk merebut Piala Sumbangsih
2017.
Begitupun,
juara Piala Malaysia 2016 itu menang menerusi penentuan sepakan penalti ke atas
JDT selepas kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 pada aksi pembuka tirai, 20
Januari lalu di Larkin.
Selangor
yang dilanda pelbagai masalah dalaman ketika melakukan persiapan musim ini
ternyata kental kerana barisan pemainnya tidak terjejas dengan ‘tsunami’
dalaman Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
Mereka kekal
fokus dan setakat ini sudah mula menunjukkan hasil yang membanggakan.
Selangor
juga kehilangan beberapa pemain tonggak musim ini dan jurulatih, P. Maniam
terpaksa meneruskan misi dengan mempertaruhkan pemain muda yang masih cetek
pengalaman.
Perak juga
antara pasukan yang perlu diawasi termasuk dua muka baharu pada kempen Liga
Super iaitu Melaka United dan PKNS FC.
Apa pun,
pasukan yang berjaya mengekalkan rentak konsisten, pastinya bakal diangkat
sebagai juara liga bagi musim 2017.
SUMBER-Artikel
Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0130&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4XEhBopM6
Hakcipta terpelihara