ARKIB : 15/05/1998
Tok Gajah jangan salah langkah
BERDASARKAN pengalaman, Pahang
nyata memiliki segala kelebihan berbanding pasukan muda - Olimpik 2000 terutama
menerusi reputasi mereka selaku naib juara Piala Malaysia musim lalu, lapor
AMRAN MULUP.
Dengan pengalaman serta
kematangan, Pahang menjadi pilihan untuk mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai
pendahulu Perdana Satu dengan memenangi pertemuan di Stadium Merdeka, malam
ini.
Namun ia sekadar ramalan atas
kertas dan yang pasti Pahang bakal merasai sendiri sejauh mana kehebatan
pasukan muda negara yang dianggap masih mentah.
Pertemuan kedua-dua pasukan ini
bakal menjadi tumpuan utama selepas anak didik Hatem Souissi ini mempamerkan
aksi menarik menentang Selangor dengan keputusan seri 3-3.
Sarawak menerima kejutan
apabila tewas 1-0 manakala Selangor satu lagi pasukan elit dengan reputasi
menjulang Piala Malaysia tiga musim berturut-turut nyaris menerima malu Sabtu
lalu.
Ini sudah tentunya bakal
mencetuskan pertembungan paling menarik memungkinkan satu lagi kejutan bakal
berlaku di Stadium Merdeka malam ini.
Yang jelas, Pahang seharusnya
lebih berwaspada berdepan dengan kebangkitan skuad Olimpik agar tidak menerima
malu seperti yang menimpa Sarawak dan Selangor.
Jurulatih Pahang, Jorgen Larsen
pastinya sudah merancang strategi sepanjang babak 90 minit buat menangkis
asakan-asakan pantas Olimpik.
Corak permainan pantas pemain
Olimpik adalah kelebihannya walaupun Pahang dibarisi pemain elit seperti
Emmanuel Kofi Ampiah, Azizul Kamaluddin, Muadzar Mohamad, Melnikov Viatcheslav
dan Joszef Duro.
Buat Hatem, persembahan
cemerlang sewaktu bertemu Selangor menyaksikan beliau tetap menyandarkan
barisan yang sama malam ini.
Tanpa tonggak pertahanan
Yuzaiman Zahari yang diperintah keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua
manakala Gilbert pula terpaksa berehat panjang ekoran kecederaan lutut
kanannya, Olimpik tidak nampak pincang.
Kebangkitan Chow Chee Weng dan
V. Saravanan yang kembali menemui sentuhan menjadi sandaran di bahagian
serangan selain perancang Tengku Hazman Raja Hassan dan Rosle Derus yang mengemudi
bahagian tengah.
Kekebalan benteng menjadi
pertaruhan ke atas S. Jayaprakash akan dibantu oleh Johnny Joseph, M. Gopalan,
Faziallah Maman manakala tempat Yuzaiman pula akan diisi oleh Lim Chan Yew bagi
menyekat pergerakan lincah Azizul dan Melnikov.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0515&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4JO69C800
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan