ARKIB : 30/05/1998
Penguasaan Tok Gajah sukar
disekat
JIKA ada anugerah ''juara liga
pusingan pertama'', Pahang tentunya sedang ceria meraikan kejayaan menguasai
carta bola sepak Liga Perdana Satu.
Menang atau kalah pada
perlawanan terakhir pusingan pertama malam ini, skuad Tok Gajah tetap megah di
singgah sana hasil kerja keras sejak awal kempen liga.
Dengan lima mata di depan
pencabar terdekat Pulau Pinang, Pahang bolehlah dikatakan sudah berjaya pada
pusingan pertama.
Tujuh kemenangan, seri dua dan
tewas sekali untuk memiliki 23 mata daripada 10 perlawanan, jumlah pungutan
mata yang besar dalam pusingan pertama berbanding beberapa musim lalu, pasukan
bimbingan Jorgen E. Larsen itu tampak sukar disekat musim ini.
Begitupun, perjuangan masih
panjang. Ada 12 lagi perlawanan liga yang harus diharungi.
Semestinya Pahang perlu terus
melebarkan rekod cemerlangnya, meninggalkan pasukan lain yang setia mengekori
rapat.
Perkara utama dalam benak semua
pemain Pahang tentunya kepuasan dapat meninggalkan jauh musuh utama, Selangor
yang menafikan Piala Malaysia milik mereka musim lalu.
Pahang hanya tewas sekali dalam
pusingan pertama sebelum perlawanan malam ini, tewas 1-0 kepada Selangor, yang
terhumban di tangga ketiga tercorot dalam liga.
Namun, kerumitan tetap mengulit
Pahang apabila terpaksa berdepan dengan pasukan di tempat ketiga yang sudah
kembali menemui rentak kemenangan, Negeri Sembilan.
Pasukan M. Karathu itu baru
sahaja mendapat tonik apabila membenam Selangor 2-0 di gelanggang sendiri,
Selasa lalu.
Namun, Larsen tentu
mengharapkan lagi sentuhan bintang import Melnikov Viatcheslav, Joszef Duro
serta ayam tambatan tempatan Azizul Kamaluddin dan Azaruddin Aziz, untuk
memastikan tiga mata bakal milik mereka.
Begitupun, Negeri Sembilan
turut mempunyai misi tersendiri, sekurang-kurangnya mendekati pasukan di tangga
kedua, Pulau Pinang dan kemenangan sahaja dapat memenuhi harapan itu.
Biarpun harapan yang diletakkan
di bahu pakar import Rusa, Scott Ollerenshaw masih samar, Karathu tetap yakin
anak-anak buah mampu memusnahkan rekod cemerlang Pahang.
Selepas mengaibkan Perak 2-1 di
tempat lawan, Pulau Pinang pula pasti mengharapkan tuah terus memihak kepada
mereka apabila menentang Kedah di Stadium Bandaraya.
Kemenangan harus dicari untuk
merapatkan lagi jurang lima mata dengan Pahang selain mengharapkan pendahulu
liga itu terkulai di Kuantan.
Begitupun, tugas Harimau
Kumbang sukar kerana lawan yang bakal ditentang malam ini baru sahaja mengikat
Pahang 3-3 di Alor Setar, Selasa lalu.
Pasukan di tempat kelima, Sabah
yang masih segar dengan kemenangan 1-0 ke atas tetangganya Sarawak, Selasa
lalu, akan menguji pula Selangor yang masih tercari-cari jalan kejayaan.
Biarpun turun beraksi di
gelanggang keramat lawan di Shah Alam, prestasi buruk Selangor dalam pusingan
pertama ini dengan hanya dua kali menang, menjadi kesempatan terbaik buat Sabah
untuk menambah mata.
Nampaknya, kegawatan ekonomi
yang melanda Selangor terus merebak di padang.
Sarawak yang berada di tangga
kelapan dengan 12 mata, harus berhempas pulas mengekang lawan malam ini, Brunei
yang turut mengumpul mata yang sama.
Kekalahan kepada Sabah Selasa
lalu pasti meningkatkan lagi azam anak buah bimbingan Alan Vest untuk membenam
Brunei di tempat sendiri.
Kuala Lumpur pula yang menghuni
tangga tercorot tentu mahu menyaingi Olimpik 2000 yang mempunyai jumlah mata
yang sama.
Kemenangan sulung yang diraih
Selasa lalu tentu menjadi pencetus semangat untuk mengatasi Perak, pasukan yang
kini dilanda masalah pemain utama yang digantung oleh pengurusan skuad
Seladang.
Persembahan kurang menyerlah
Perak di gelanggang sendiri pada perlawanan sebelum ini apabila kecundang 1-2
kepada Pulau Pinang, mungkin memberi ruang buat Kuala Lumpur mencuri tiga mata.
Perlis yang mengatasi Brunei
3-1 Selasa lalu, pasti mahu memperbaiki kedudukan dan cabaran Olimpik 2000
harus dikekang untuk mengelak malu ditewaskan skuad muda di gelanggang sendiri.
Apa pun, semua pertemuan malam
ini disifatkan getir buat semua pasukan yang kini cuba mencari mata untuk
memperkukuhkan lagi kedudukan masing-masing.
Oleh: JOHARI SYAWAL
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0530&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4Js0Oq0mN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan