ARKIB : 30/05/1998
Pahang berazam kekalkan
reputasi cemerlang
PENDAHULU Liga Perdana Satu,
Pahang pastinya berazam mengekalkan reputasi cemerlang untuk menutup tirai
pusingan pertama dengan kemenangan pada pertemuan menentang pasukan Negeri
Sembilan, malam ini.
Selepas menamatkan 10
perlawanan, wakil tunggal pantai timur itu tetap unggul dengan menguasai takhta
liga dengan 23 mata apabila mencatat tujuh kemenangan dan seri dua kali.
Apapun keputusan digelanggang
lain, seandainya Pahang tewas ditangan Negeri Sembilan, kedudukannya di tangga
teratas tidak mampu digugat oleh mana-mana pasukan.
Ini kerana Pulau Pinang (18
mata) yang mengekori di tangga kedua, diikuti Negeri Sembilan, Kedah dan Sabah
cuma mengumpul 15 mata.
Pertemuan malam ini, pastinya
menjanjikan permainan menarik yang bakal dipamerkan oleh kedua-dua pasukan
setelah kejayaan masing-masing mengutip mata dalam perlawanan Selasa lalu.
Negeri Sembilan berjaya
membenam juara Piala Malaysia, Selangor 2-0 di tempat sendiri, manakala Pahang
berpuashati setelah berjaya mencuri satu mata daripada Kedah di Alor Setar
apabila perlawanan berakhir 3-3.
Setelah kejayaan membenam Merah
Kuning, skuad Rusa pastinya datang dengan misi untuk melebarkan rekod
kemenangan sekali gus muncul pasukan pertama meleburkan rekod tanpa kalah tuan
rumah Stadium Darulmakmur.
Namun begitu, jika diperhatikan
dari pencapaian kedua-dua pasukan, Tok Gajah lebih berhak mencipta kemenangan
kerana rekod permainan anak buah, M. Karathu di tempat lawan kurang menyerlah.
Apatah lagi, tuan rumah yang
berbekalkan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan di gelanggang sendiri
sepanjang musim ini dijangka menurunkan kesebelasan utamanya.
Mereka bukan sahaja unggul
selaku pendahulu liga, sebaliknya turut berbangga dengan sentuhan gol penyerang
importnya, Viatcheslav Melnikov apabila pemain itu tiba-tiba muncul penjaring
terbanyak setakat ini.
Melnikov yang dibeli dengan
harga lebih RM1 juta dari kelab Moscow Torpedo telah menyumbang sembilan gol
daripada lapan perlawanan.
Tugas berat pastinya menanti
kesebelasan skuad Rusa kerana Pahang bukannya sekadar kuat di atas, hakikatnya
Tok Gajah sememangnya memiliki barisan yang mantap disemua posisi.
Disamping Melnikov dan Azizul
Kamaluddin yang diharapkan menjaringkan gol, pemain-pemain tengah terdiri,
Azaruddin Aziz, Joszef Duro dan Shahrul Nizam Sahat bakal menjaring 'duri dalam
daging' kepada pasukan pelawat.
Malah pemain posisi pertahanan
Pahang, Emmanuel Kofi Ampiah dan Ali Mat Tahar turut membuktikan kebolehan
masing-masing mencatat nama sebagai penjaring gol.
Namun begitu, Pahang tidak boleh
mendabik dada dengan rekod tersebut kerana pasukan yang bakal ditemui malam ini
bukanlah calang-calang pasukan.
Tersilap percaturan tidak
mustahil boleh mengubah keputusan yang akan berpihak kepada pasukan pelawat
untuk meranapkan rekod tanpa kalah Pahang sekaligus membawa pulang mata penuh.
Pertemuan kedua-dua pasukan itu
pastinya mendorong peminat-peminat bola sepak khususnya peminat setia Tok Gajah
untuk memenuhi setiap inci tempat duduk di Stadium Darulmakmur.
Ini kerana Negeri Sembilan
satu-satunya pasukan dalam Perdana Satu yang mendapat khidmat pemain-pemain
yang pernah menjadi tonggak kebangkitan Pahang beberapa musim lalu.
Mereka ialah pemain import, Gus
Cerro yang mewakili Pahang musim 1996, Dolah Salleh (1984-1996), Raizuwah Idris
(1994- 1997) dan bekas penjaga gol Piala Presiden, Mohd. Yazid Mohd. Yassin
selaku penjaga gol utama.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0530&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4Js1UqOUi
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan