ARKIB : 10/05/1998
Pahang hebat
PAHANG mengukuhkan kedudukan
sebagai pendahulu liga apabila berjaya mengetepikan Perlis 2-1 dalam perlawanan
Perdana Satu di Stadium Darulmakmur, Kuantan, malam tadi.
Pasukan Tok Gajah yang sebelum
ini menang tiga perlawanan berturut-turut unggul walaupun menerima tentangan
sengit dari pasukan Singa Utara.
Perlawanan malam tadi bermula
dengan hambar dengan kedua- dua pasukan bermain berhati-hati dan belum menemui
rentak permainan masing-masing.
Bagaimanapun, beberapa serangan
kedua-dua pasukan hampir mencemaskan penjaga gol dan penonton yang berjumlah
kira-kira 10,000 orang.
Pahang mula menemui rentak dan
melancarkan serangan bertubi-tubi ke kubu Perlis melalui gandingan penyerangnya
Azizul Kamaluddin dan Viatcheslav Melnikov serta pemain tengah Joszef Duro.
Akhirnya, Pahang memperoleh gol
pertama melalui Melnikov yang menanduk masuk bola ke gawang Perlis hasil
sepakan sudut Duro pada minit ke-24.
Gol itu menyemarakkan lagi
semangat pemain-pemain Pahang dan mula melancarkan serangan bertali arus ke
pintu gol Perlis namun gagal membolosi pintu gol Perlis sehingga babak pertama
tamat.
Perlis bermula dengan garang
pada babak kedua dalam usahanya untuk menyamakan kedudukan dan akhirnya berjaya
membolosi gawang Pahang hanya selepas empat minit perlawanan disambung semula.
Gol tersebut dijaringkan oleh
Henry Acquah yang merembat masuk bola ke gawang dari luar kotak penalti selepas
menerima hantaran penyerang berasal dari Thailand, Kiatisuk Senamuang.
Perlawanan terus rancak selepas
itu, dengan serangan bahaya yang hampir mencecah ke jaring.
Pahang akhirnya berjaya
memperoleh gol yang dicari-cari melalui Sharulnizam Sahat yang menendang bola
masuk ke gawang Perlis selepas menerima umpanan Ahmad Shukri Mustapha pada
minit ke-83.
Oleh: MOHD. YUSWANDI MAJID
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4JNY7Y0HX
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan