ARKIB : 21/06/1998
Impian Pahang lebur
SELANGOR meleburkan impian
Pahang untuk mengutip tiga mata penuh apabila menewaskan pendahulu liga itu 2-0
pada perlawanan Perdana Satu di Stadium Darulmakmur, Kuantan, malam tadi.
Tanpa tonggak utama - Emmanuel
Kofi Ampiah dan Joszef Duro, Pahang terpaksa akur dengan kehebatan lawan yang
membolosi gawang mereka seawal minit kelima permainan menerusi Fidadi Mohamed.
Pahang mendapat kesempatan
terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-26 apabila Viatcheslav
Melnikov merembat bola hantaran Sharuddin Rosdi, namun berjaya ditangkap kemas
penjaga gol, Abdul Hadi Tahir.
Seminit sebelum tamat separuh
masa pertama, Selangor menambah jaringan hasil gerakan solo Azman Adnan, yang
membuat sepakan yang melencong dan gagal diselamat oleh Mudzar Mohamad.
Di Stadium Bandaraya, Merzagua
Abderrazak menjadi wira Pulau Pinang apabila menjaringkan gol hat trick untuk
kemenangan 3-0 tuan rumah ke atas Sarawak.
Pulau Pinang bertindak garang
sejak wisel dibunyikan oleh pengadil, Mohd. Shukri Amin dari Terengganu di
depan 3,000 penyokong.
Asakan mereka akhirnya
membuahkan hasil apabila pada minit ke-13, Merzagua menyempurnakan hantaran
Moey Kok Hong.
Sarawak yang ketinggalan 0-1
berusaha keras mencari gol penyamaan dan mendapat kesempatan terbaik pada minit
ke-25 namun pemain tuan rumah, Faisal Soh pantas menyelamatkan pintu golnya.
Merzagua menambah derita
pasukan pelawat apabila berjaya membolosi gawang lawan dengan gol kedua dan
ketiga pada minit ke-32 dan 45.
Di Stadium Utama Kangar, tuan
rumah Perlis terpaksa berkongsi mata dengan Negeri Sembilan apabila sekadar
seri 1-1.
Gol Singa Utara dijaringkan
pada separuh masa pertama menerusi Kiatisuk Senamuang pada minit ke-14,
manakala gol penyamaan skuad Rusa disumbat oleh Dollah Salleh, minit ke 65.
Di Stadium Perak, Ipoh, pasukan
pelawat Brunei mengecewakan tuan rumah dengan kemenangan 2-1.
Pasukan dari Pulau Borneo itu
memperoleh gol hasil jaringan Rosaidi Mohd Kamis pada minit ke-59 dan Nordin
Tujoh pada minit ke-76, manakala gol tunggal Perak hasil jaringan Azrul Amri
Burhan minit ke-86.
Di Stadium KLFA, Cheras, Kuala
Lumpur terpaksa berkongsi mata selepas terikat 2-2 dengan Sabah.
S. Nanthakumar menjadi penyemat
pasukan itu daripada diaibkan menerusi jaringan pada minit ke-17 dan 52,
sementara gol-gol Sabah disumbat masuk oleh Mohd. Jaya Kassim, (20) dan Vaselin
Kovasevic, minit ke-49.
Dalam pada itu, Johor melonjak
ke tangga kelima Perdana Dua selepas menumpaskan NS Chempaka 3-0 pada
perlawanan di Stadium Larkin.
Tiga gol kemenangan Johor
dijaringkan oleh Milan Blagojevic (69), Azmi Mohamed minit (86) dan Tuboly
Frigyes pada minit ke-89.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0621&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Jzl8aqi4
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan