ARKIB : 16/05/1998
Melnikov hampakan skuad Olimpik
2000
FAKTOR kurang pengalaman
menjadi jurang yang menyaksikan skuad Olimpik 2000 akur dengan kehebatan
pendahulu liga, Pahang apabila tewas 2-1 dalam perlawanan bola sepak Perdana
Satu di Stadium Merdeka, malam tadi.
Harapan 20,000 penonton yang
sebahagian besarnya memihak kepada Olimpik nyata hampa apabila dua gol pelawat
menerusi pemain termahal bernilai RM4 juta, Melnikov Viatcheslav menutup terus
kehebatan anak buah Hatem Souissi.
Aksi menarik Olimpik 2000
dengan serangan pantas ketika seri 3-3 dengan Selangor, Sabtu lalu tetap
menjadi ingatan namun nasib kali ini jelas memihak kepada Pahang yang berterima
kasih kepada kehebatan Melnikov.
Kemenangan ini memperkukuhkan
kedudukan Pahang untuk menduduki tangga teratas Perdana Satu dengan mengumpul
19 mata.
Sebaik bermula babak pertama,
kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan penuh hati-hati dalam tempoh
sepuluh minit yang menyaksikan tiada serangan bahaya dilancarkan.
Hanya pada minit ke-15, Pahang
nyaris membuka tirai jaringan namun tandukan ke belakang Shahrulnizam Sahat
mudah ditangkap kemas penjaga gol Olimpik, Jamsari Sabian.
Olimpik yang cuba mengatur
gerakan menerusi gandingan V. Saravanan dan Chow Chee Weng sukar melepasi
benteng pertahanan yang dikemudi oleh Joszef Duro yang mengambil posisi
Emmanuel Kofi Ampiah yang tidak diturunkan.
Gerakan Olimpik hadir pada
minit ke-20 apabila Saravanan pantas memintas Khairulniza Mustaffa tetapi dia
gopoh melakukan sepakan liar biarpun berdepan dengan penjaga gol Pahang, Mudzar
Mohamad.
Giliran Pahang pula mencemaskan
pertahanan Olimpik tetapi rembatan leret Azaruddin Aziz ketika keadaan kelab
kabut di depan gawang tuan rumah hanya tersasar sipi dari tiang gol sebelah
kiri Olimpik.
Pahang memperoleh gol pertama
menerusi rembatan Melnikov selepas mendapat bola muntah apabila Jamsari Sabian
gagal menangkap kemas lorongan Mohd. Ali Taha pada minit ke-33.
Belumpun sempat skuad Olimpik
mengatur langkah mencari gol penyamaan, Melnikov sekali lagi bertindak garang
apabila menyempurnakan sepakan sudut Suhaimi Mohd. Noor untuk menanduk masuk
gol kedua.
Bermulanya babak kedua
menyaksikan Olimpik cuba bangkit untuk mencari gol merapatkan jurang namun
kekentalan benteng pelawat nyata sukar dilepasi.
Kemasukan Azmir Nor Hakim, Chia
Ching Kar dan Nik Ahmad Fadly Nik Leh pada babak kedua menampakkan sedikit
perubahan permainan Olimpik.
Kerja keras mereka akhirnya
dibayar dengan gol pada minit ke-78 menerusi Tengku Hazman yang menyambar bola
di depan gawang hasil umpanan lintang Azmir yang memaksa Mudzar hanya terpaku
melihat jaring gawangnya bergegar.
Begitupun, Olimpik terus
dihampakan Pahang bagi mencari gol penyamaan untuk Tok Gajah pulang selesa
dengan tiga mata.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4JO7ekrko
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan